Lima maut, tiga cedera kemalangan di Batu Gajah
Nazialita Geynna Maharan
Januari 30, 2017 18:35 MYT
Januari 30, 2017 18:35 MYT
Lima maut manakala tiga cedera parah dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 16, Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Siputeh di sini pada petang tadi.
Dalam kejadian sekitar 2.30 petang berhampiran stesen minyak BHP Siputeh itu, dua buah kenderaan jenis Toyota Vios dan Mercedes telah bertembung di bahagian hadapan dan menyebabkan lima mangsa meninggal dunia.
Empat mangsa disahkan maut di lokasi kejadian akibat tersepit manakala seorang lagi mangsa kemalangan disahkan meninggal dunia di hospital.
Mangsa yang maut adalah Anita Zuriana Abu Zarim, 46, yang merupakan penumpang hadapan kereta Mercedes dan Leong Kok Chuen, 37, iaitu pemandu Toyota Vios.
Selain itu, tiga lagi mangsa di dalam kereta Vios yang meninggal dunia adalah seorang wanita warga emas berusia 60 tahun,seorang wanita berusia 20 tahun dan seorang lelaki berusia 40 tahun dan polis masih cuba mendapatkan identiti ketiga-tiga mangsa berbangsa Cina itu.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata kejadian tersebut berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Mercedes yang dalam perjalanan dari Ipoh menuju ke Seri Iskandar, bertembung dengan ebuah Toyota Vios dari arah bertentangan dipercayai cuba memotong memasuki laluannya.
"Akibat terlalu dekat pemandu Mercedes itu gagal mengelak lalu bertembung dengan Vios tersebut di bahagian kiri jalan yang menghala ke Lumut," katanya dalam satu kenyataan media petang tadi.
Katanya, berikutan perlanggaran berkenaan pemandu dan dua penumpang Vios meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang maut di Hospital Batu Gajah dan turut menyebabkan penumpang hadapan Mercedes maut di tempat kejadian.
Nasri berkata pemandu Mercedes berusia 50 tahun, iaitu seorang pengurus syarikat terkemuka iaitu dan dua lagi anak perempuannya iaitu penumpang kenderaan berusia 13 dan 19 tahun mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh bagi rawatan lanjut.
Tambah beliau, kedua kenderaan yang rosak teruk di bahagian hadapan itu akan dihantar ke Puspakom bagi tujuan pemeriksaan lanjut.
"Kes akan disiasat secara lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ) 1987,"katanya lagi.
Sementara itu sebelum itu Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah Mohamad Isa Zainal berkata pihaknya mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mangsa.
"Sebaik sahaja menerima panggilan sekitar 2.31 petang,kami ke lokasi kejadian dan mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit.
"Sementara itu, dua lagi mangsa yang parah telah dikeluarkan oleh orang awam yang melalui jalan tersebut," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Jelasnya, pihaknya menggunakan pemotong hidraulik bagi mengeluarkan mangsa dan operasi yang memakan masa sekitar dua jam itu tamat sekitar 4.20 petang.
Isa berkata kesemua mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Batu Gajah bagi tujuan bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.