Lima maut, jumlah kes denggi meningkat 106 peratus di Negeri Sembilan

Bernama
Jun 7, 2019 16:19 MYT
Sehingga Sabtu lalu sebanyak 14 lokaliti wabak dikesan masih aktif di daerah Seremban manakala satu di Port Dickson.
Lima orang maut akibat denggi daripada 1,059 kes yang dilaporkan di Negeri Sembilan pada minggu ke-22 sehingga Sabtu lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan.
Beliau berkata ini berbanding tiada kes kematian dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.
Katanya, jumlah kes denggi meningkat sebanyak 106 peratus berbanding 513 kes yang dicatatkan bagi tempoh sama pada tahun lalu.
"Taburan kumulatif kes denggi di negeri ini pada tahun ini adalah sebanyak 859 kes di Seremban, Tampin (59), Port Dickson (49), Jempol (35), Rembau (20), Jelebu (19) dan Kuala Pilah (18)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Veerapan berkata, sehingga Sabtu lalu sebanyak 14 lokaliti wabak dikesan masih aktif di daerah Seremban manakala satu di Port Dickson.
"Di Seremban melibatkan Taman Desa Cempaka Fasa 4, Taman Nusari Bayu 1, Flat Cempaka Puri, Taman Desa Anggerik (Jalan BBN 9/2), Apartment Kolej Lagenda (SP), Green Beverly Hills, Nilai Spring Height, Taman Desa Kiara, Taman Jasmin Indah, Taman Desa Anggerik, Putra Point Nilai (Jalan BBN1/7), Taman Desa Indah (Jalan Indah 12-20), Putra Point Nilai (Jalan BBN 1/3) dan Taman Coral Height.
"Manakala di Port Dickson hanya melibatkan Bandar Dataran Segar," katanya.
Beliau berkata oleh kerana bilangan kes kumulatif begitu tinggi, maka aktiviti pencegahan dan kawalan telah dipergiatkan dengan menjalankan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan Aedes.
"Selain itu, aktiviti memusnahkan larva, semburan pengasapan, Ops Gempur Aedes, promosi kesihatan dan gotong-royong melibatkan pihak masyarakat turut diadakan," katanya.
-- BERNAMA
#denggi #kematian #maut #Ops Gempur Aedes #S Veerapan
;