Lima maut dalam kemalangan dua kenderaan di Kota Tinggi
Bernama
November 19, 2016 10:26 MYT
November 19, 2016 10:26 MYT
Tiga beranak antara lima yang maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di KM77 Jalan Johor Bahru-Mersing di Kota Tinggi, dekat sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata kemalangan kira-kira 3.45 petang itu membabitkan kenderaan jenis Perodua Alza yang menghala ke Mersing dari Kota Tinggi manakala Proton Saga FLX dari Terengganu ke Bandar Penawar, Kota Tinggi.
"Kemalangan itu dipercayai berlaku selepas kenderaan Perodua Alza itu memotong di garisan putih berkembar di kawasan berbukit dan bertembung dengan kereta Proton Saga berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Akibat kemalangan itu, pemandu Perodua Alza iaitu Siti Nurullfarhah Md Shafi'i, 20; bersama ayah dan ibunya – Md Shafi'i Kassim, 56; dan Asnah Kassim, 54; serta seorang penumpang kereta Proton Saga – Nora Atiqah Sazumi, 13, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala dan badan.
Ayah Nora, Sazumi Yahya, 55, pula meninggal dunia kerana kecederaan kepala di Hospital Kota Tinggi sewaktu mendapatkan rawatan manakala ibunya Yusniza Yusof, 45, serta kakaknya Nora Alina, 19, cedera dan masih dirawat di hospital sama.
Rahmat berkata hasil siasatan mendapati kenderaan Alza dan Proton Saga remuk teruk di bahagian hadapan.
Kes disiasat mengikut Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -- Bernama
#jalan johor bahru kota tinggi
#kemalangan 2016
#kemalangan jalan raya
#kemalangan ngeri
#Kota Tinggi