Lima lemas, dua masih hilang bot karam di Semporna

Petrus Bernard
April 15, 2022 03:39 MYT
SAR diteruskan pada 7 pagi ini melibatkan APMM; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM) serta bantuan orang kampung. - Foto Maritim Malaysia
SEMPORNA: Lima individu ditemukan lemas selepas sebuah bot pam yang membawa 20 penumpang karam di Pulau Tandoan, Timbun Mata, Semporna pada Khamis malam.
Mangsa yang maut terdiri daripada dua wanita, dua kanak-kanak perempuan serta seorang kanak-kanak lelaki berusia antara satu hingga 33 tahun.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, 13 mangsa lagi berjaya diselamatkan orang awam di lokasi perairan manakala dua lagi masih hilang.
"Kesemua mangsa dalam perjalanan dari Kampung Bakung-Bakung menuju ke Kampung Tandoan dan dipercayai membawa beban lebih muatan selain cuaca buruk," kata Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norimi Hassan.
Jelas Norimi, beberapa aset maritim dikerah bagi operasi mencari dan menyelamat sebaik sahaja menerima laporan.
Malah, katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang diaktifkan pada 11.45 malam Khamis dengan bot Banggi 11 digerakkan ke lokasi kejadian bagi melaksanaan pencarian awal.
"Siasatan awal mendapati dua lahgi mangsa yang masih hilang ialah lelaki berusia 6 dan 14 tahun," katanya.
SAR diteruskan pada 7 pagi ini melibatkan APMM; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM) serta bantuan orang kampung.
#bot karam #Semporna #mangsa lemas #Komander Maritim Norimi Hassan