Lima lemas, dua hilang ketika memancing di Bukit Beruntung
Astro Awani
Mac 17, 2017 21:00 MYT
Mac 17, 2017 21:00 MYT
Lima mayat kanak-kanak yang lemas ditemui manakala dua yang lain masih hilang selepas mereka dibawa arus deras ketika memancing di Sungai SKC Bukit Beruntung di sini pada petang Jumaat.
Kejadian berlaku ketika lapan kanak-kanak terbabit yang berusia antara 10 hingga 13 tahun sedang memancing di sungai Kampung Timah.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan 5.44 petang sebelum 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu bergegas ke lokasi.
Beliau berkata, seorang daripada kanak-kanak terbabit sempat menyelamatkan diri.
Menurut bomba, dua mayat kanak-kanak ditemui sekitar 6.44 petang.
Mayat dua beradik itu dikenali sebagai Shahrizwan dan Shahrizat Abdullah ditemui kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.
Dua lagi mayat ditemui sekitar jam 9.45 hingga jam 10 malam tadi.
Mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Ikhwan Mohd Ridhwan, 10, ditemui pasukan penyelamat pada jam 9.47 malam dan Mohd Aiman Fitri Md Asmadi, 12, ditemui 10 minit kemudian.
Identiti kedua-dua mangsa disahkan oleh ahli keluarga mereka yang turut berada di lokasi kejadian.
Manakala mangsa kelima Amirul Hakimi Khairul Amru, 9, ditemukan pada jam 12.20 malam (Sabtu) kira-kira satu kilometer dari tempat dua rakannya ditemukan.
Dua lagi mangsa yang hilang dikenali sebagai Mohd Iskandar Shah Abdullah, 11, dan Muhammad Aiman Kamarul Arippin, 12.
“Operasi mencari ini akan terus dijalankan sehingga kesemua mangsa ditemui. Kita tidak akan berhenti operasi dan kita akan teruskan operasi sehingga kesemua mangsa ditemui,” kata Mohd Sani ketika di temui di lokasi.
Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat baki dua lagi mangsa akan diteruskan pagi Sabtu sehingga kesemua mereka ditemui.
Kesemua mayat dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baru untuk dibedah siasat.
Sementara itu semua ahli keluarga mangsa kelihatan berkumpul di lokasi kejadian sejak jam 6 petang semalam.
Menurut Riatis Salis, ibu kepada mangsa bernama Mohd Ishkandar Shah Abdullah, kali terakhir bertemu mangsa pada pagi semalam yang dikatakan tidak hadir ke sekolah kerana demam.
“Saya dah kejut dia pergi sekolah. Dia kata tak nak, dia kata tak sihat. Saya tidak tahulah jadi macam ini, dah cakap pagi tadi jangan keluar duduk rumah nenek jaga, balik-balik tengok anak tidak ada,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, pihak polis dengan kekuatan 50 anggota akan terus memantau lokasi kejadian sehingga semua mangsa ditemui.
Bagaimanapun, penduduk diminta mengawal pergerakan anak-anak mereka di musim cuti sekolah, khususnya di kawasan parit, lombong dan tasik, ini berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.