Lima lelaki termasuk dua beradik didakwa merusuh di Stadium Shah Alam

Bernama
Disember 17, 2014 16:17 MYT
Majistret Ellyana Razali membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM2,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Dis ini untuk sebutan semula kes. - Foto BernamA
Lima lelaki termasuk dua beradik hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan merusuh semasa perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Shah Alam pada 7 Disember, lepas.
Kelima-lima tertuduh iaitu Amirul Akmal Nooradzhar, 22; Zulhelmy Akmal Zainol Abidin, 28; Muhammad Naquiyuddin Sallehuddin, 19, serta dua adik beradik Mohd Aminuddin Hamdan, 34, dan Noor Hadi Hamdan, 29 didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mereka bersama-sama beberapa orang lagi yang masih bebas didakwa merusuh dengan menyerang penyokong pasukan bola sepak Vietnam menggunakan kekerasan di kawasan Quadrant A, Stadium Shah Alam pada pukul 9.50 malam.
Majistret Ellyana Razali membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM2,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Dis ini untuk sebutan semula kes.
#bola sepak #Mahkamah Majistret #Malaysia #Piala AFF Suzuki #Quadrant A #Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Akta 574) #shah alam #Stadium Sah Alam #Vietnam
;