Lima lelaki miliki waran tangkap ditahan dalam Ops Warta
Nazialita Geynna Maharan
Julai 18, 2017 21:36 MYT
Julai 18, 2017 21:36 MYT
Lima lelaki yang ditahan dalam Ops Warta hari ini dibawa untuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini setelah dikesan memiliki waran tangkap atas pelbagai kesalahan trafik di daerah itu sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Ng Kong Soon berkata, mereka yang ditahan dalam operasi di Kilometer 19, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur itu kemudiannya dijatuhi hukuman oleh Majistret yang bertugas.
"Ketika diperiksa dalam Ops Warta itu, kelima-lima lelaki ini didapati memiliki waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kampar atas pelbagai kesalahan trafik.
"Polis terus membawa mereka ke mahkamah untuk diadili," katanya kepada pemberita di sini.
Menurut beliau, sebanyak 47 saman yang merangkumi pelbagai kesalahan trafik juga telah dikeluarkan dalam operasi berkenaan.
Sehubungan itu, Ng menasihatkan orang awam, khususnya di daerah Kampar, supaya menyemak status saman mereka dengan Cawangan Trafik IPD Kampar dengan segera.
Bagi mengelakkan kejadian serupa, katanya, orang ramai perlu menjelaskan sebarang tunggakan saman trafik dengan segera.
#Kampar
#kesalahan trafik
#mahkamah
#Mahkamah Majistret
#Ng Kong Soon
#operasi
#Ops Warta
#polis
#saman