Lima lelaki ditahan curi kelapa sawit, ceroboh ladang

Sinar Harian
Februari 11, 2022 21:18 MYT
Menurut polis, kesemua suspek mengakui terlibat kira-kira 10 kes curi kelapa sawit di sekitar kawasan Kampung Bharu dan Ayer Tawar.
LUMUT: Polis menahan lima lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri buah kelapa sawit dan menceroboh kawasan ladang di Ayer Tawar di sini.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kesemua suspek berusia 35 hingga 50-an itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan sekitar Manjung pada Selasa dan Rabu lalu.
Menurutnya, risikan dan intipan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung berjaya mengesan empat lelaki sedang mengait buah kelapa sawit di ladang terbabit.
"Ketika serbuan dua lelaki berusia 35 dan 39 tahun berjaya ditahan manakala dua lagi rakan mereka telah melarikan diri.
"Hasil soal siasat membawa penahan dua rakan mereka berusia 40-an melalui dua serbuan berasingan pada Rabu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Nor Omar berkata, seorang suspek berusia 50-an yang berperanan melakukan urusan jual beli hasil curi kelapa sawit turut ditahan.
"Tangkapan terhadap lelaki itu dilakukan hasil soal siasat keempat-empat lelaki di sebuah ladang kelapa sawit sekitar jam 6 petang pada Rabu.
"Polis telah merampas sebuah lori, galah, tiga mata pisau dan 39 tandan kelapa sawit," katanya.
Nor Omar berkata, kesemua tangkapan mengakui terlibat kira-kira 10 kes curi kelapa sawit di sekitar kawasan Kampung Bharu dan Ayer Tawar.
"Kelima-lima suspek direman selama tiga hari berakhir pada Jumaat dan permohonan sambung reman akan dilakukan bagi melengkapkan siasatan.
"Mereka yang mempunyai rekod lampau dalam kes jenayah dan penyalahgunaan dadah disiasat mengikut Seksyen 379 dan 447 Kanun Keseksaan," katanya.
Artikel asal di Sinar Harian
#curi kelapa sawit #Ayer Tawar #ladang kelapa sawit #ceroboh #manjung