Lima lelaki ditahan bersama 142.3kg ganja bernilai RM355,785

Bernama
Disember 24, 2021 13:18 MYT
Shafee (tiga dari kiri) bersama pegawai penyiasat menunjukkan ganja yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT, Bukit Mertajam, hari ini. - Sinar Harian
BUKIT MERTAJAM: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan lima lelaki dan merampas 142.3 kilogram (kg) ganja bernilai RM355,785, dalam siri serbuan di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT), di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah SPT ACP Shafee Abd Samad berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan dijalankan sejak bulan lepas, polis yang melancarkan operasi bermula 17 hingga 22 Disember lalu menahan lima lelaki berusia 30 hingga 52 tahun dalam enam serbuan.
"Serbuan pertama pada 4.30 petang 17 Disember di sebuah rumah di Seberang Jaya, polis menahan seorang lelaki bersama enam ketulan mampat ganja seberat 5.2kg bernilai RM12,907.50, sebelum menyerbu sebuah lagi kediaman di Bukit Mertajam serta menahan dua lagi lelaki di situ.
"Polis merampas 20 ketulan ganja seberat 18.9kg bernilai RM47,197.50 bersama dua lelaki itu dan seterusnya kami menyerbu sebuah rumah kedai di Sungai Semambu, di sini sebelum merampas 41 ketulan ganja seberat 39.6kg (RM99,122.50) di situ yang dijadikan tempat menyimpan bekalan dadah sindiket tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya polis seterusnya menahan seorang lagi lelaki di sebuah rumah di Seberang Jaya dan merampas 53 bungkusan kecil ganja seberat 1.1kg bernilai RM2,750, sebelum menyerbu sebuah rumah di Permatang Pauh serta merampas 55 ketulan ganja seberat 54.6kg yang berharga RM136,442.50.
Shafee berkata, serbuan terakhir dibuat di Permatang Pauh dan menahan seorang lagi lelaki bersama 23 ketulan ganja seberat 23kg bernilai RM57,365 dan dipercayai semasa ditahan suspek sedang menunggu pelanggan untuk membeli bekalan dadah tersebut.
Katanya siasatan mendapati sindiket itu mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian pengedaran termasuk dari antarabangsa sebelum mengedarkan kepada pembeli di sekitar negeri ini sejak Jun lepas.
"Dalam operasi itu polis merampas 146 ketulan mampat dan 53 bungkusan kecil ganja yang kesemuanya bernilai RM355,785 daripada lima lelaki tersebut. Semua 142.3kg dadah itu boleh digunakan oleh 284,622 penagih," katanya.
Beliau berkata ujian air kencing mendapati tiga daripada lima lelaki itu positif dadah jenis ganja dengan tiga suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.
Menurutnya lima lelaki yang ditahan itu ada yang bekerja kilang, berniaga serta penganggur dan semua mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
#ganja #polis #Seberang Perai Tengah #jenayah
;