Lima lelaki ditahan bawa dadah di Lapangan Terbang Sandakan
Bernama
Februari 27, 2018 05:00 MYT
Februari 27, 2018 05:00 MYT
Lima lelaki ditahan oleh anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selepas disyaki cuba menyeludup masuk dadah disyaki jenis syabu di Lapangan Terbang Sandakan di sini, pada Selasa.
Menurut sumber, dadah berkenaan dipercayai disimpan di dalam empat bagasi pakaian yang dirampas daripada lima lelaki itu.
Mereka ditahan kira-kira jam 9.30 pagi selepas tiba di lapangan terbang itu dari Kuala Lumpur.
Pengarah JKDM Sabah Datuk Hamzah Sundang mengesahkan mengenai tangkapan itu tetapi enggan mengulas lanjut.
Katanya kes itu masih dalam siasatan dan akan mengadakan satu sidang media itu dalam masa terdekat mengenai rampasan dadah itu.
Dalam pada itu, video dan gambar rampasan dadah serta tangkapan suspek itu tular di media sosial.
Gambar dan video itu turut menunjukkan pergelutan ketika pegawai JKDM bersama anggota pasukan keselamatan dibantu orang awam menahan seorang suspek di luar pintu Balai Ketibaan.
-- BERNAMA