Lima lelaki direman bantu siasatan tuntutan palsu lebih RM2.5 juta

Bernama
Mac 23, 2023 14:05 MYT
Lima lelaki direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan tiga kes tuntutan palsu berjumlah lebih RM2.5 juta. -Twitter Bernama
SHAH ALAM: Lima lelaki direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan tiga kes tuntutan palsu berjumlah lebih RM2.5 juta.
Perintah reman terhadap kesemua mereka berusia lingkungan 40 hingga 52 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Syuhada Abdullah di Mahkamah Majistret Shah Alam di sini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Tuntutan berkenaan membabitkan kerja-kerja penyelenggaraan, penambahbaikan dan membaik pulih fasiliti Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Selangor, pada 2020.
Kesemua mereka ditahan semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
#tuntutan palsu #MAHKAMAH Majistret Shah Alam #SPRM #SJKT
;