Lima lagi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja selamat pulang pada Jumaat

Bernama
Januari 27, 2023 00:58 MYT
Wisma Putra berkata, mangsa yang berusia di antara 17 hingga 42 tahun itu turut diiringi oleh seorang pegawai kanan dari Kementerian Luar Negeri dan delegasi PDRM yang telah mengadakan lawatan kerja ke Kemboja. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Lima lagi warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) malam tadi, mangsa yang berusia di antara 17 hingga 42 tahun itu turut diiringi oleh seorang pegawai kanan dari Kementerian Luar Negeri dan delegasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah mengadakan lawatan kerja ke Kemboja mulai hari Selasa (24 Januari).
Dengan kepulangan lima orang itu, sehingga kini Wisma Putra telah membawa pulang seramai 346 warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.
Kementerian Luar Negeri merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Kemboja atas kerjasama baik yang telah diberikan dalam usaha mengesan serta menyelamat warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di samping kesediaan menerima lawatan kerja empat hari itu.
Menurut kenyataan itu lagi, orang ramai digesa supaya lebih berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara dengan gaji lumayan yang diterima daripada sumber-sumber meragukan, termasuk melalui media sosial, aplikasi mudah alih atau secara dalam talian.
Kementerian Luar Negeri amat memandang serius akan permasalahan ini dan menggesa orang ramai untuk membuat laporan kepada pihak PDRM dan Kementerian Luar Negeri sekiranya terdapat ahli keluarga mereka yang disyaki menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.
-- BERNAMA
#Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur #kementerian luar malaysia #PDRM #mangsa sindiket jenayah penipuan
;