Lima kubur berusia 96 tahun dipindahkan
Astro Awani
Jun 3, 2022 06:30 MYT
Jun 3, 2022 06:30 MYT
MUADZAM SHAH: Lima kubur lama berusia 96 tahun di Kampung Aur, Bukit Ibam, di sini, dipindahkan ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Aur pada Jumaat.
Kerja pengalihan lima kubur di sebuah kawasan berbukit terasing dari Tanah Perkuburan Kampung Aur, Bukit Ibam itu dilaksanakan Jabatan Agama Islam Muadzam Shah dengan kerjasama Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Pengalihan kubur itu juga dilaksanakan selepas mendapat kebenaran daripada Pejabat Mufti Pahang pada penghujung Mei lalu.
Menurut Kadi Muadzam Shah, Bunyamin Abd Ghani, pengalihan kubur lama itu dilakukan dengan kebenaran Pejabat Mufti Pahang, selepas menerima permohonan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi pembinaan sebuah jambatan.
"Kubur yang mana jenazah tidak ditanam di kubur rasmi orang Islam, seandainya berlaku sebarang keperluan untuk kita alihkan, kita akan minta kebenaran daripada pihak Mufti Negeri Pahang dari sudut hukum syaraknya untuk tujuan pengalihan," kata Bunyamin.
Tambah Bunyamin, kebenaran daripada waris juga diperlukan bagi memastikan kerja pengalihan jenazah dapat dilakukan dengan sebaiknya.
Waris jenazah, Roszawati Mohamad, 44, mengakui lega apabila kubur arwah neneknya kini dipindahkan ke tempat sepatutnya.
Menurut Roszawati, arwah neneknya, Mehran Diram, dikebumikan di kaki bukit kerana banjir besar yang melanda kampung terbabit sekitar tahun 1926 dan kubur sedia ada ditenggelami banjir.
"Keluarga semua tidak menghalanglah. Mereka beri sokongan untuk alihkan ke tanah perkuburan yang lain.
"Maknanya nak bagi lebih selesa untuk pembangunan jambatan di sini. Kami setuju dialih ke tempat yang lebih sesuai," Roszawati.
Bagi Mohd Tab Talib, dia bersyukur kerana selama ini tidak mengetahui arwah kakaknya yang meninggal dunia ketika dia masih kecil dikebumikan di situ.
"Dulu saya tak tahu, batu nisan dia pun tak pernah jumpa. Bila dah dapat khabar nak dipindahkan, baru dapat tahu," kata Mohd Tab.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam, Datin Shamsiah Arshad berkata, pembangunan di kawasan itu sudah lama dirancang dan antaranya adalah pembinaan jambatan yang baharu.
Pelebaran jalan dan pembinaan jambatan konkrit yang baharu itu bakal menghubungkan penduduk Kampung Aur dengan Kampung Aur Seberang serta sekitarnya.
"Jambatan gantung di Kampung Aur ini memang antara jambatan tertua di sini.
"Walaupun ia masih teguh, tetapi kita perlukan jambatan konkrit yang baharu untuk laluan penduduk dari Kampung Aur Seberang, Kampung Keladan dan sekitarnya.
"Keadaan jambatan gantung sedia ada ini sudah tidak sesuai lagi untuk kenderaan seperti kereta, kecuali motosikal," kata Shamsiah.
Shamsiah dalam pada itu mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pihak terutamanya para waris bagi melancarkan pemindahan kubur lama terbabit.
#kubur lama dipindahkan
#Tanah Perkuburan Islam Kampung Aur
#kubur lama 96 tahun
#Kampung Aur Bukit Ibam