Lima kolej komuniti baharu agenda TVET untuk lepasan SPM
Bernama
April 17, 2018 05:21 MYT
April 17, 2018 05:21 MYT
Kementerian Pendidikan Tinggi meluluskan penubuhan lima buah kolej komuniti baharu iaitu di Bachok, Kelantan; Keningau dan Tuaran di Sabah; Kuala Selangor di Selangor serta Dungun, Terengganu.
Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata pembinaan kolej komuniti baharu itu akan membuka lebih banyak peluang pembelajaran kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf yang berminat dan berkelayakan untuk menyambung pengajian mereka.
"Penubuhan ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk membuka peluang dan akses kepada pendidikan TVET untuk masyarakat setempat serta peluang untuk pembelajaran sepanjang hayat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Idris berkata penawaran kursus berasaskan Revolusi Industri Keempat (4IR) juga bersesuaian dengan strategi bagi menarik pelabur asing datang ke Malaysia dan ia akan membantu meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan kolej komuniti dari semasa ke semasa.
Beliau berkata kebolehpasaran graduan kolej komuniti menunjukkan peningkatan sebanyak enam peratus, menjadi 97.2 peratus berbanding 91.2 peratus pada 2013.
Peningkatan itu adalah bukti kemajuan pendidikan kemahiran yang ditawarkan di kolej komuniti seiring dengan agenda TVET yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, katanya.
-- BERNAMA
#Idris Jusoh
#kemahiran
#kementerian
#kolej komuniti
#peluang pembelajaran
#pendidikan tinggi
#pengajian
#SPM
#TVET