Lima ketua Malawakil baharu dapat watikah 20 Jun ini - Saifuddin
Bernama
Jun 9, 2022 16:00 MYT
Jun 9, 2022 16:00 MYT
PUTRAJAYA: Lima ketua perwakilan Malaysia (Malawakil) yang baharu termasuk ke Indonesia, Arab Saudi dan Jepun akan menerima watikah pelantikan mereka daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 20 Jun ini.
Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata baki 24 jawatan ketua Malawakil yang masih kosong, termasuk di Australia dan New Zealand, sedang dalam proses akhir dimuktamadkan.
"Lima ini sudah dapat persetujuan daripada negara tuan rumah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada sambutan 50 tahun Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) di Malaysia, di sini, hari ini.
Saifuddin menjelaskan bahawa kekosongan jawatan berkenaan berlaku berikutan faktor persaraan pegawai dan pandemik COVID-19 yang menyebabkan pergerakan pegawai tidak dapat dilaksanakan.
Tambahnya, masalah sama juga dialami oleh negara-negara lain dan ini boleh dilihat apabila sejumlah besar ketua perwakilan asing ke Malaysia menyerahkan watikah pelantikan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.
"Jarang berlaku sampai 20 lebih (serah watikah)... ini kerana dua tahun juga tak datang yang baharu. Di mana-mana negara sekarang memang sibuk proses menghantar dan menerima watikah kerana tertangguh dua tahun," katanya.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang berbincang dengan Kementerian Luar untuk membuat pengisian segera 29 jawatan kosong ketua Malawakil.
Mohd Shafiq berkata, ketika ini, kekosongan itu digalas oleh Kuasa Usaha Sementara.
Untuk rekod, Malaysia mempunyai 107 Malawakil di luar negara dengan sebahagiannya adalah ketua perwakilan dan selebihnya konsul jeneral.
-- BERNAMA