Lima buah kereta mewah yang menawarkan perkhidmatan kereta sapu tanpa permit dengan menggunakan aplikasi Uber ditahan dalam satu operasi revus Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di Johor Bahru.

Operasi berkenaan yang bermula jam 10 pagi dan berakhir jam 1 petang itu menggunakan teknik penyamaran oleh pegawai SPAD di tiga lokasi berlainan di sekitar bandar ini.

Antara kereta yang ditahan ialah Kia Optima, Nissan Sentra, Nissan Sylphy dan dua Toyota Camry termasuk lima pemandu berumur 23 hingga 28 tahun bagi membantu siasatan.

Kereta sapu mewah ini menawarkan tambang murah serendah RM18.27 bagi perjalanan 19 kilometer.

Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasa SPAD, Mejar Jeneral Bersara Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad dalam satu kenyataan berkata hasil siasatan awal mendapati lima kereta milik individu berlainan itu baru sebulan beroperasi.

Operasi ini adalah siri kedua yang dilakukan selepas siri pertama di Kuala Lumpur pada September lalu berjaya menahan 13 kereta sapu.

Pengguna dinasihatkan tidak menggunakan perkhidmatan ini kerana tidak dilindungi insurans dan menyalahi undang-undang, syarat dan terma perlesenan pengendali.

Kesemua pengendali yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Jika disabit kesalahan, pengendali boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM1000 dan tidak melebihi RM100,000.