Lima kenderaan terbabas akibat tumpahan diesel di Bandar Permaisuri

Bernama
September 12, 2022 06:30 MYT
Insiden tumpahan minyak diesel pada jam 6 pagi Isnin dipercayai dari sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam. -Foto Sinar Harian
BANDAR PERMAISURI: Lima buah kenderaan disahkan terbabit setakat ini dalam kemalangan akibat jalan licin berikutan berlaku tumpahan minyak diesel sejauh kira-kira dua kilometer di jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, di sini, pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Afandi Hussin, berkata sehingga 4 petang semalam, sebanyak lima laporan polis diterima daripada pemilik kenderaan terbabit dalam kemalangan akibat hilang kawalan di Kilometer 69 hingga 71 itu.
Katanya, insiden tumpahan minyak diesel itu berlaku pada jam 6 pagi dipercayai dari sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam.
"Kenderaan itu dikatakan membuat pengisian minyak dalam tong yang diletakkan di bahagian belakang kenderaan di sebuah stesen minyak di Bandar Permaisuri sebelum kenderaan itu bergerak menghala ke arah Kuala Terengganu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, bagaimanapun, insiden itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan parah dalam kalangan mangsa kemalangan.
Menurut Afandi kebanyakan pemandu dikatakan hilang kawalan ketika melalui lokasi tumpahan minyak itu kerana permukaan jalan yang licin sehingga menyebabkan kenderaan mereka terbabas dan ada yang terbalik.
"Polis percaya masih terdapat mangsa kemalangan yang masih belum tampil membuat laporan polis.
"Susulan kejadian itu, polis dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikerahkan ke tempat kejadian untuk mengawal lalu lintas dan membersihkan tumpahan tersebut sebelum kerja membersihkan jalan tamat jam 12.14 tengah hari tadi (Isnin)," katanya.
Afandi berkata, polis sedang mengesan pemilik kenderaan pacuan empat roda tersebut untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Bernama difahamkan jumlah sebenar kenderaan terlibat kira-kira 20 buah termasuk penunggang motosikal, namun ada yang masih belum tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.
-- BERNAMA
#tumpahan minyak diesel #jalan licin #Afandi Hussin #pacuan empat roda berwarna hitam
;