Lima kedai sederet musnah dijilat api di Langkawi
Adie Sufian Zulkefli
Julai 10, 2024 10:50 MYT
Julai 10, 2024 10:50 MYT
LANGKAWI: Sederet lima buah kedai di Pantai Tengah, di sini, musnah dalam kebakaran malam tadi.
Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Persiaran Putra, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hizami Ahmad Azraai, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.44 malam.
“Seramai 20 anggota dan pegawai bersama jentera dari BBP Persiaran Putera dan BBP Padang Matsirat dikejarkan ke lokasi kebakaran.
“Setiba di lokasi api sedang marak membakar kelima-lima buah kedai. Tindakan bomba menggunakan dua aliran empat pancutan air melalui pam jentera untuk pemadaman,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut beliau, api berjaya dipadamkan dan kemusnahan dianggarkan melebihi 80 peratus struktur kedai terbabit.
Kata beliau, tiada kemalangan jiwa berikutan ketika kejadian pemilik premis telah pulang ke rumah masing-masing.
Katanya, punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.