Lima individu langgar SOP PKPB di Kuching dikompaun
Afiezul Samit
Mei 14, 2021 17:11 MYT
Mei 14, 2021 17:11 MYT
KUCHING: Polis Kuching mengeluarkan kompaun kepada lima individu selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) di sebuah premis bistro di Jalan Song, Tabuan Jaya pada Khamis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Supritendan Merbin Lisa berkata serbuan dan pemeriksaan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di premis tersebut sekitar jam 9 malam.
“Hasil pemeriksaan mendapati pemilik premis tersebut tidak mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) apabila membenarkan pelanggan makan di premis.
“Kesemua yang dikompaun itu melibatkan empat lelaki dan seorang wanita tempatan berumur dalam lingkungan 23 ke 50 tahun termasuk pemilik bistro, seorang lelaki tempatan berumur 42 tahun,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Justeru tambah Merbin, pemilik premis dan anggota masyarakat dinasihatkan agar sentiasa patuh dan mengikuti SOP yang dikeluarkan dari masa ke semasa oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
Jelasnya memahami dan mematuhi SOP adalah penting bagi mengelakkan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa seterusnya membantu mengekang penularan COVID-19.
Kesemua individu yang ditahan ini telah dibawa ke IPD Kuching untuk menerima kompaun.
#COVID-19 di Sarawak
#COVID-19 Kuching
#kompaun PKPB
#Merbin Lisa
#premis ingkar SOP
#Kluster baharu di Sarawak
#kluster aktif di Sarawak