Lima individu ditahan termasuk CEO stesen TV, polis beku aset lebih RM17 juta

Hasimi Muhamad
Januari 10, 2025 19:18 MYT
Razarudin berkata, kesemua suspek ditahan oleh pasukan AMLA Bukit Aman menerusi OP Ragada dalam serbuan berasingan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Sarawak - Foto/Fail
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menahan lima individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah stesen penyiaran di Sarawak kerana disyaki menjalankan aktiviti jenayah pengubahan wang haram.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua suspek ditahan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman menerusi OP Ragada dalam serbuan berasingan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Sarawak.
Katanya, hasil serbuan yang dijalankan, pasukan AMLA berjaya merampas, membekukan dan menyita aset-aset seperti kenderaan, akaun bank serta dokumen-dokumen dengan nilai keseluruhan berjumlah RM17,434,217.36.
"Modus Operandi adalah menjalankan aktiviti jenayah pengubahan wang haram melalui transaksi kewangan yang mencurigakan dan Kesalahan Pecah Amanah Jenayah oleh pengarah syarikat, tipu tender dan menganugerahkan tender kepada diri sendiri atau ahli keluarga.
"Pada Oktober 2024, pengadu menerima maklumat melalui maklumat risikan kewangan Suspicious Transaction Report (STR), yang telah kenal pasti beberapa akaun bank yang terlibat dengan STR dalam tempoh 2017 hingga September 2024," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, Unit Pengesanan Aset dan Analisa, Pasukan Bahagian AMLA, Bukit Aman telah menjalankan siasatan dan membuat tangkapan terhadap suspek berusia dalam lingkungan antara 25 tahun dan 61 tahun.
Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Terdahulu, media melaporkan seorang eksekutif pengurusan kanan sebuah stesen televisyen tempatan ditahan pada petang Jumaat, dipercayai mempunyai kaitan dengan kes komersial.
#Ketua Polis Negara #pengubahan wang haram #Sarawak Media Group #TV Sarawak
;