Lima individu dipenjara sehari, denda RM1,500 guna MC palsu

Bernama
Februari 14, 2024 18:14 MYT
Kesemua mereka dituduh melakukan kesalahan itu di tempat kerja masing-masing di beberapa lokasi berbeza di George Town dan Bayan Lepas antara 24 Jan hingga 6 Okt 2020. -Gambar hiasan
BUTTERWORTH: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM1,500 terhadap lima individu termasuk sepasang suami isteri selepas mengaku bersalah menggunakan sijil cuti sakit (MC) palsu dari Hospital Pulau Pinang (HPP), empat tahun lepas.
Pasangan suami isteri, T.D Vasudevan dan D. Carolina masing-masing 28 tahun serta G. Mukuntan 28; M. Harrvinthan, 27, dan R. Gobinath Ramayah, 43; membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Zulhazmi turut memerintahkan penjara dua bulan kepada setiap tertuduh jika gagal membayar denda tersebut.
Vasudevan dan isterinya, Carolina masing-masing berdepan dua pertuduhan, Mukuntan (satu pertuduhan), Harrvinthan (empat pertuduhan) dan Gobinath (tiga pertuduhan).
Kesemua mereka dituduh melakukan kesalahan itu di tempat kerja masing-masing di beberapa lokasi berbeza di George Town dan Bayan Lepas antara 24 Jan hingga 6 Okt, 2020.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afiqa Liyana Rozman dan Noor Azura Zulkifli manakala kelima-lima tertuduh tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA
#MC palsu #T D Vasudevan #D Carolina #Hospital Pulau Pinang
;