Lima hari hilang, mayat budak ditemukan terapung
Sinar Harian
Januari 20, 2022 05:40 MYT
Januari 20, 2022 05:40 MYT
PITAS: Kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang sejak lima hari lalu ditemui lemas di perairan Kampung Pondoi, di sini, pada Khamis.
Mangsa, Rikson Josh, 12, ditemui pada jam 12. 05 tengah hari oleh penduduk kampung berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Rony Sikawan berkata, mangsa ditemui kira-kira 26 kilometer dari lokasi asal kanak-kanak itu dilaporkan lemas.
"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung dan dibawa naik ke darat sebelum diserahkan kepada pihak polis.
"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Pitas," katanya.
Katanya lagi, dengan penemuan mayat mangsa itu, operasi ditamatkan pada jam 4 petang.
Sebelum itu, mangsa dikhuatiri lemas selepas hilang ketika berkelah di tepi Sungai Bengkoka, di sini, bersama ahli keluarganya.
*Berita asal di Sinar Harian