Lima hari hanyut di lautan, tiga nelayan kelaparan, air hujan penghilang dahaga

Adie Sufian Zulkefli
Januari 24, 2025 09:30 MYT
Asrulhisham (kiri) bersalaman dengan ibunya, Halimah. Turut serta anaknya, Shahril Aiman (kanan). Asrulhisham dan Shahril Aiman dilaporkan hanyut di lautan selama lima hari.
SUNGAI PETANI: Tiga nelayan dari Pengkalan Batu Melintang, di sini, yang dilaporkan hilang Khamis lalu ketika merawai di Pulau Payar sebelum ditemui selamat lima hari kemudian di Acheh Tamiang, Indonesia hanya berharap menemui daratan dan diselamatkan segera kerana kelaparan.
Menurut Asrulhisham Zainol, 47, sejak dihanyutkan selepas bot mereka mengalami masalah enjin selama lima hari di lautan, mereka langsung tidak menjamah sebarang makanan.
Sebaliknya, dia dan dua lagi mangsa lain hanya bergantung kepada air hujan sahaja untuk diminum.
Menceritakan pengalaman itu, Asrulhisham berkata, kejadian itu berlaku ketika dia dan anaknya, Shahril Aiman, 17, serta seorang lagi awak-awak, Mohamad Amin Suffian, 30, hanyut ketika dalam perjalanan pulang ke pangkalan selepas selesai merawai ikan tenggiri di perairan Pulau Payar pada pagi Jumaat 10 Januari lalu.
"Kami keluar ke laut pada petang Khamis bersama tiga lagi bot nelayan tempatan dan selesai merawai lebih kurang pukul 4 pagi dan ketika dalam perjalanan pulang enjin bot rosak.
"Ketika itu kami telah terpisah dengan bot lain dan tidak dapat membuat panggilan telefon meminta bantuan kerana kawasan berkenaan tiada liputan talian telefon menyebabkan kami melabuhkan sauh dengan harapan rakan lain akan datang membantu," katanya.
Kata Asrulhisham, disebabkan laut ketika itu bergelora, tali sauh mereka turut terputus sebelum dihanyutkan arus kemudiannya.
"Semasa dihanyutkan kami tidak menemui satu pun bot di laut kerana ramai nelayan tidak keluar menangkap ikan berikutan hari Jumaat selain menyesal kerana tidak membawa sedikit pun bekalan makanan berbanding hari lain ketika turun merawai ikan.
"Ketika itu kami betul-betul berada di tengah lautan luas dan disebabkan lapar kami membakar ikan tenggiri hasil merawai di Pulau Payar menggunakan buluh penanda tangsi merawai dan meminum air laut sahaja," katanya.
Menurut bapa kepada dua anak itu lagi, pada hari kedua mereka tidak dapat menjamah makanan langsung kerana 40 ekor ikan tenggiri dalam simpanan rosak dan berbau menyebabkan mereka hanya minum air hujan yang ditadah pada malamnya sahaja.
"Sejak itu kami mula letih dan sering berdoa agar bot dibawa ke arah mana-mana daratan terdekat dan syukur pada pagi Isnin lebih kurang pukul 6 pagi bot kami memasuki muara dan terdampar di beting pasir.
"Akhirnya pada pukul 9 pagi kami ditemui oleh dua nelayan Aceh dan selepas memberitahu kami rakyat Malaysia yang dihanyutkan… kami dibawa pulang ke rumah mereka dan dijamu makanan kemudiannya," katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Pengkalan Batu Melintang, Tikam Batu, di sini, hari ini.
Kata Asrulhisham itu lagi, nelayan Aceh itu kemudian menghubungi Imigresen dan Polis Republik Indonesia (POLRI) yang kemudiannya membawa mereka ke pusat tahanan Imigresen Langsa, Aceh untuk proses dokumentasi dan kami tinggal di sana sehinggalah dibenarkan pulang pagi Rabu.
Kata Asrulhisham, berkat bantuan pegawai Kedutaan Malaysia dan pihak penguatkuasa negara berkenaan enjin bot mereka berjaya dibaiki dan bertolak balik pada pagi Rabu sehingga ke sempadan perairan negara di Tukun Perak sebelum diiringi bot Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) Maritim Malaysia sehingga ke Tanjung Dawai.
Ketiga-tiga nelayan itu sampai di rumah mereka pada pukul 6 pagi tadi dan disambut oleh ahli keluarga masing-masing.
Shahril Aiman berkata, kejadian ini tidak akan melemahkan semangatnya untuk mengikut bapanya turun ke laut di masa hadapan terutamanya tiap kali cuti sekolah.
"Selain hobi saya seronok dapat membantu bapa bekerja sebagai nelayan dan kejadian ini merupakan satu peristiwa yang akan menjadi sejarah dalam hidup saya.
"Saya sedikit pun tidak merasa kesal sebaliknya menganggap ini adalah asam garam seorang nelayan tambahan lagi kami hanya dihanyutkan bukannya karam pun," katanya.
Sementara itu, Halimah Saari, 67, ibu kepada Asrulhisham dan nenek Shahril Aiman bersyukur akhirnya dapat bertemu semula dengan ahli keluarganya itu selepas terpisah selama 14 hari.
"Walaupun tahu mereka selamat ditemui sejak 13 Januari lalu, namun selagi tidak melihat dan berjumpa mereka sendiri selagi itulah saya tidak sedap hati.
"Akhirnya pagi tadi selepas dapat memeluk mereka berdua terubat sudah berbagai perasaan yang timbul di dalam hati dan hanya perkataan syukur dapat dipanjatkan kepada Allah kerana menyelamatkan mereka," katanya.
Halimah turut mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak yang terlibat membantu sejak anak, cucunya dan pekerja mereka dilaporkan hilang termasuk dalam proses penghantaran pulang mereka.
#nelayan hilang #hanyut di lautan #Pengkalan Batu Melintang #nelayan Aceh
;