Lima gajah liar berjaya dipindahkan ke taman negara

Bernama
Januari 29, 2021 17:04 MYT
Dua ekor gajah denak betina dari PKGK, Kuala Gandah dan dua ekor gajah denak betina dari PKG Sungai Deka Hulu Terengganu digunakan bagi menjinakkan lima ekor gajah betina liar yang ditangkap di Kampung Kuala Tiga di sini hari ini. - Foto BERNAMA
TANAH MERAH: Lima gajah betina liar termasuk seekor anak gajah berusia satu tahun yang ditangkap di Kampung Kuala Tiga, dekat sini Selasa lepas, berjaya dipindahkan dari sini ke Taman Negara di Terengganu, hari ini.
Ketua Operasi Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Mohamad Khairul Adha Mat Amin berkata operasi pemindahan itu menggunakan empat gajah denak betina dari PKGK bagi 'menjinakkan' kesemua haiwan liar itu.
Beliau berkata gajah denak yang diberi nama Abok, Rambai, Surai dan Kala dibawa dari PKGK Kuala Gandah dan PKGK Kuala Terengganu.
"Operasi hari ini juga melibatkan 25 anggota dengan mengambil masa hampir empat jam bermula dari pukul 9.00 pagi," katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi pemindahan gajah itu di Kampung Kuala Tiga di sini, hari ini.
Jelasnya kelima-lima gajah betina liar yang rata-ratanya seberat satu tan dan berusia 15 tahun itu ditangkap anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan pada 26 Jan lepas.
Sekumpulan gajah itu ditangkap Perhilitan Kelantan selepas menerima aduan daripada penduduk kampung yang melihat haiwan liar itu sedang mencari makanan di kawasan kebun di kampung berkenaan dan ia telah berkeliaran sejak November tahun lepas.
Mengulas lanjut, Mohamad Khairul Adha berkata pihaknya terpaksa menarik kesemua gajah liar itu keluar sejauh satu kilometer dari lokasi ia ditangkap sepanjang proses pemindahan dilakukan.
Beliau menganggarkan antara 15 dan 20 ekor gajah liar lagi masih berkeliaran di kawasan kampung berkenaan memandangkan ia terletak berdekatan dengan Hutan Simpan Sokor Taku.
"Kumpulan gajah liar ini memasuki kawasan kampung bukan mahu kacau penduduk, tapi haiwan ini mahu mencari makanan dan perlidungan, mungkin habitat asalnya telah diteroka," katanya.
Sementara itu seorang penduduk Suhaimi Ismail, 44, berkata beliau mewakili penduduk kampung merakamkan penghargaan kepada pihak terlibat terutamanya Perhilitan Kelantan kerana telah bertindak menangkap sekumpulan gajah liar itu.
"Kali terakhir gajah liar dipindahkan dari kawasan ini ialah 10 tahun yang lalu selepas ia memasuki kebun penduduk kampung, dan tangkapan ini sedikit sebanyak meredakan kerisauan penduduk kampung," katanya.
-- BERNAMA
#gajah #Kampung Kuala Tiga #Taman Negara #terengganu #PKGK #Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan #Kuala Gandah #Mohamad Khairul Adha Mat Amin
;