Lima ekor Harimau Malaya mati dalam tempoh kurang dua tahun

Bernama
Julai 22, 2024 09:00 MYT
Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan menyempurnakan perasmian Majlis Sambutan Hari Harimau Sedunia Tahun 2024 di Institut Biodiversiti Perhilitan Semenanjung Malaysia hari ini. - Foto Bernama
TEMERLOH: Lima ekor Harimau Malaya dilaporkan mati termasuk menjadi mangsa dalam insiden jalan raya dalam tempoh kurang dua tahun sejak 2023 sehingga kini, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata sembilan ekor Harimau Malaya pula telah ditangkap di kawasan konflik dan usaha melindungi haiwan itu serta memulihara habitat semula jadinya tidak mungkin akan tercapai tanpa penglibatan daripada pelbagai pihak.
"Ia merangkumi komitmen daripada semua pihak termasuk kerajaan negeri dalam mengekalkan kawasan berhutan yang menjadi habitat Harimau Malaya.
"Pencapaian dalam konservasi Harimau Malaya menunjukkan bahawa usaha menyelamatkan haiwan itu akan membuahkan hasil jika semua pihak bersepakat.
"Sambutan pada hari ini sangat besar maknanya dan mengukuhkan momentum kolaboratif kerana banyak insiden kematian Harimau Malaya telah dilaporkan akibat konflik dengan manusia sejak akhir-akhir ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Harimau Sedunia 2024 yang disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di Institut Biodiversiti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia di sini hari ini.
Sambutan Hari Harimau Sedunia disambut pada 29 Julai setiap tahun bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran masyarakat dunia mengenai kepentingan menjaga dan memulihara spesies harimau.
Tengku Hassanal diiringi Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah turut berkenan melawat Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) di sini yang menempatkan enam ekor Harimau Malaya sedang menjalani program penyesuaian untuk membiasakan dengan situasi di habitat semula jadi.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata sepasang Harimau Malaya di MTCC yang dipasangkan pada Okt 2023 telah mengawan dan dalam tempoh pemantauan.
Dalam pada itu, beliau berkata pada tahun ini sahaja sebanyak enam siri Operasi Bersepadu Khazanah telah dijalankan yang mana sebanyak 243 jerat hidupan liar telah dimusnahkan dan nilai sitaan mencecah hampir RM9 juta.
Selain itu, beliau memaklumkan sejak 2019, Pahang telah menerima peruntukan Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) sebanyak RM36.8 juta termasuk penyaluran pertama peruntukan tahun ini sebanyak RM16.5 juta.
Sumbangan yang diterima melalui Tabung Selamatkan Harimau Malaya setakat ini katanya berjumlah kira-kira RM1.9 juta yang akan digunakan bagi membiayai pelbagai program konservasi Harimau Malaya.
-- BERNAMA
#harimau Malaya #mangsa insiden jalan raya #Nik Nazmi #Perhilitan #Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah #Hari Harimau Sedunia