Lima ditahan, seludup diesel bersubsidi
Siti Nur Aqilla Omar
Mei 24, 2022 09:00 MYT
Mei 24, 2022 09:00 MYT
PASIR GUDANG: Satu Sindiket yang baru sebulan aktif dalam kegiatan menyeludup minyak diesel bersubsidi, berjaya dipatahkan Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), dalam serbuan di Kawasan Perindustrian Kota Putri, Masai di sini, pada Ahad.
Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Dimin Awang berkata, lima lelaki termasuk tiga warga asing ditahan ketika sedang melakukan kegiatan itu, kira-kira jam 11.45 malam.
Katanya dalam kejadian pihaknya, turut dirampas 45,500 liter minyak diesel bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM111,475.
"Kesemua suspek yang berusia 28 hingga 53 tahun itu, gagal mengemukakan sebarang dokumen memiliki, menyimpan dan membawa barang kawalan.
"Ketika serbuan dibuat, semua suspek ini dilihat sedang melakukan kerja-kerja pemindahan minyak diesel dari tangki berkapasiti 1,000 liter ke dalam tangki berkapasiti 20,000 liter," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Menurut Dimin, dalam Op Kontraban terbabit, pihaknya turut membuat rampasan ke atas skid tangki berkapasiti 10,000 liter, tong putih kapasiti 1,000 liter, dua mesin pam minyak, mesin pam 'venderpoot', dua lori dan satu treler yang semuanya dianggarkan bernilai RM472,575 termasuk minyak diesel terbabit.
"Semua barang rampasan berserta suspek kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Dengan tangkapan dan rampasan ini, kita berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket penyeludupan minyak (diesel) bersubsidi di sekitar daerah ini,"katanya.