Lima didenda RM3,000 kemuka maklumat palsu untuk dapatkan sijil kelahiran bayi

Bernama
Mac 19, 2025 17:17 MYT
Kelima-lima individu itu didakwa secara berasingan atas pertuduhan mengemukakan maklumat palsu semasa membuat permohonan menggunakan Borang Daftar Kelahiran bagi mengeluarkan sijil daftar kelahiran. - Bernama
KUALA LUMPUR: Lima individu masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini, selepas mengaku bersalah mengemukakan maklumat palsu semasa mendaftar kelahiran lima bayi di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya.
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin menjatuhkan hukuman denda itu terhadap pembantu naib presiden sebuah bank Tan Eek Ming, 44; dua ahli perniagaan Leong Hon Ming, 52, dan Khor Wooi Huat, 48; serta dua suri rumah Beh Chui See, 31, dan R. Nishanti, 37, dan memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Kesemua mereka membayar denda tersebut.
Kelima-lima individu itu didakwa secara berasingan atas pertuduhan mengemukakan maklumat palsu semasa membuat permohonan menggunakan Borang Daftar Kelahiran bagi mengeluarkan sijil daftar kelahiran kelima-lima bayi di Kaunter Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat JPN Putrajaya, pada 8 pagi hingga 5 petang antara 26 Mei 2023 hingga 11 Okt 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara yang boleh sampai tiga tahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, hasil siasatan mendapati kesemua individu tersebut dengan sengaja mengemukakan maklumat palsu semasa membuat permohonan kelahiran, bagi mendapatkan sijil kelahiran untuk nama lima bayi.
Di mahkamah sama, seorang pelajar yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) Ummu Salmah Mohamed Ibrahim, 25, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan serupa dan mahkamah menetapkan 22 April ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Zulkarnain Ahmad dan Nor Fadilah Mat Shaari.
-- BERNAMA
#sijil kelahiran #kes penipuan #hukuman penjara #mahkamah
;