Lima diberkas pecah rumah, curi kabel di Kota Tinggi

Bernama
Julai 8, 2024 23:24 MYT
Hussin berkata kumpulan itu dipercayai aktif melakukan kegiatan tersebut di daerah Kota Tinggi sejak enam bulan lepas. - Gambar Bernama
KOTA TINGGI: Polis menahan lima individu dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah dan mencuri kabel di sebuah rumah di Kampung Sungai Rinting, Masai di Johor Bahru pada 4 Julai lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata empat lelaki dan seorang wanita berusia 30 hingga 40 tahun itu diberkas oleh pasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pada 7 petang menerusi Op Pintu.
Beliau berkata kumpulan itu dipercayai aktif melakukan kegiatan tersebut di daerah Kota Tinggi sejak enam bulan lepas.
"Kita percaya telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes pecah rumah dan curi kabel di Kota Tinggi serta individu diburu polis (wanted) bagi kes narkotik di kawasan Seri Alam.
"Kesemua suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah serta positif dadah jenis methamphetamine menerusi ujian saringan air kencing yang dilakukan," katanya pada sidang media di IPD Kota Tinggi, di sini hari ini.
Beliau berkata setakat ini jumlah kerugian akibat kegiatan kumpulan itu dianggarkan berjumlah RM147,000.
Menurut Hussin modus operandi mereka adalah menyasarkan rumah yang kosong atau melakukan aktiviti itu pada waktu malam ketika mangsa sedang tidur serta merompak barangan yang berada di luar rumah.
Siasatan awal mendapati wang daripada hasil kegiatan itu turut digunakan untuk membeli dadah dan seorang daripada suspek dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap berdasarkan tatu pada lengannya.
"Siasatan awal mendapati mereka mencuri dan jual semula bagi mendapatkan hasil untuk membeli dadah. Kita yakin dengan tumpasnya kumpulan ini akan ada lagi beberapa laporan akan dibuat," katanya.
Beliau berkata kesemua individu itu direman empat hari bermula 4 Julai dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
- BERNAMA
#cuti kabel #kongsi gelap #ujian saringan #saringan air kencing
;