Lima cedera, nahas empat kenderaan di LPT1
Sinar Harian
Mei 20, 2024 10:35 MYT
Mei 20, 2024 10:35 MYT
KUANTAN: Lima termasuk kanak-kanak lelaki dan seorang wanita dilaporkan cedera selepas terbabit dalam nahas melibatkan empat kenderaan di Kilometer 140.9 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah barat, Maran hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, dua daripada mangsa hanya cedera ringan.
Menurutnya, kemalangan melibatkan kereta jenis Proton Saga, Honda City, Perodua Alza dan sebuah motosikal.
"Pihak bomba menerima laporan kejadian jam 6.49 pagi sebelum lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran ke lokasi untuk operasi menyelamat.
"Bagaimanapun semua mangsa telah dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan bomba di lokasi," katanya.
Zulfadli berkata, pihak bomba melakukan kerja-kerja pemantauan di lokasi manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh menggunakan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba untuk menerima rawatan. - Sinar Harian