Lima cadangan kekang kegiatan 'sugar baby' pelajar IPT - Mahasiswi Sabah
Bernama
Februari 14, 2021 04:16 MYT
Februari 14, 2021 04:16 MYT
KOTA KINABALU: Penelitian semula kos sara hidup dan peluang menjana pendapatan melalui keusahawanan merupakan salah satu daripada lima langkah dicadang Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA) Sabah bagi mengekang kegiatan "Sugar Baby" dalam kalangan penuntut.
Pengerusinya Siti Zainab Omar berkata melalui penelitian kos sara hidup dan membuka ruang keusahawanan di dalam serta luar kampus, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dapat menjana pendapatan seterusnya menampung kos sara hidup mereka ketika pengajian.
Sehubungan itu, katanya cadangan kedua pula melibatkan kementerian dan IPT berkaitan dapat menaja kos pendaftaran lesen perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan memberi galakan kepada penuntut melibatkan diri dengan perniagaan dalam talian sebagai salah satu punca pendapatan mereka.
"Tidak dapat dinafikan masalah kewangan merupakan salah satu faktor utama keterlibatan penuntut dengan kegiatan ini...tiada pihak yang perlu dipersalahkan dalam isu ini, tetapi semua pihak perlu mengambil peranan dan memandang serius tentang gejala 'Sugar Baby'," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata baru-baru ini dilaporkan lebih ramai bilangan pelajar IPT awam mahupun swasta terlibat dan berdaftar dengan aplikasi menemukan "Sugar Baby" dengan "penaja" mereka yang dikenali sebagai "Sugar Daddy" terutama ketika penularan pandemik COVID-19.
Justeru sebagai cadangan ketiga Siti Zainab berkata pihaknya mencadangkan pihak berwajib mengambil langkah secara berkesan membeku atau menyekat akses laman sesawang dan aplikasi yang menjerumus individu terutama mahasiswi kepada kegiatan tidak bermoral tersebut.
"Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia perlu memainkan peranan...hal ini dapat mengurangkan dan mengelakkan bukan sahaja mahasiswi bahkan keseluruhannya daripada terjebak," katanya.
Beliau berkata cadangan keempat lebih kepada mengenal pasti individu yang terlibat dengan gejala ini dan membawanya ke pihak berkuasa, yang mana mahasiswi dan masyarakat perlu memberi kerjasama dan sebuah platform harus diwujudkan bagi memudahkan melaporkan kegiatan itu.
Katanya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan IPT juga perlu melihat cadangan ini dengan lebih mendalam kerana dakwanya ada dalam kalangan "Sugar Daddy" terdiri dalam kalangan petugas IPT terutama pensyarah sendiri.
Siti Zainab berkata cadangan kelima dan terakhir ialah mewujudkan sistem sokongan psikologi kepada pelajar dengan pihak seperti badan bukan kerajaan dan kaunseling memainkan peranan menyediakan khidmat nasihat dan dorongan kepada mereka untuk meninggalkan gejala tersebut.
"Unit kaunseling juga perlu menjadi perantara yang dominan agar psikoterapi turut diberikan secara terus kepada yang terlibat sekali gus membantu mereka dari sudut dukungan psikologi. Ibu bapa juga perlu memantau pergerakan dan kelakuan anak-anak bukan sahaja di dalam rumah bahkan di luar rumah," katanya.
-- BERNAMA
#sugar baby
#pelajar IPT
#kos sara hidup
#Siti Zainab Omar
#Sugar Daddy
#mahasiswa
#IPT
#pelajar
#pendapatan
#lesen perniagaan
#penaja
#laman sesawang
#aplikasi
#sekat akses
#Kementerian Pendidikan Tinggi
#pensyarah
#sokongan psikologi
#kaunseling