Lima cabaran dan peluang ekonomi belia Malaysia: Apa yang perlu diketahui?

Nina Rozman
Februari 12, 2025 11:20 MYT
Belia Malaysia berdepan cabaran dalam pasaran kerja, tetapi peluang tetap ada bagi mereka yang bersedia menyesuaikan diri. - Gambar hiasan BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pasaran kerja Malaysia semakin dinamik, namun cabaran seperti ketidaksepadanan pekerjaan, hala tuju pendidikan, dan kebergantungan kepada pelaburan asing terus memberi kesan kepada golongan muda.
Menurut Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof Madya Ahmed Razman Abdul Latiff, belia perlu menyesuaikan diri serta memanfaatkan peluang yang ada dan situasi ini memerlukan pendekatan holistik daripada kerajaan, majikan dan juga graduan sendiri.
Berikut adalah antara cabaran dan peluang yang digariskan beliau:
1. Isu ketidaksepadanan pekerjaan: Lebih 40% graduan tidak bekerja mengikut kelayakan
Walaupun kadar pengangguran menurun, ramai graduan masih terpaksa bekerja dalam bidang tidak sepadan dengan kelayakan akademik mereka.
"Kita perlu melihat statistik ketidaksepadanan ini kerana ia akan membantu kerajaan merangka dasar untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan gaji setimpal," kata Razman.
Cadangan penyelesaian:
- Industri dan kerajaan perlu bekerjasama meningkatkan peluang pekerjaan selari dengan kelayakan akademik graduan.
- Graduan disarankan untuk mendapatkan kemahiran semula dan peningkatan kemahiran dalam bidang teknologi, dan kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang.
2. Pendidikan TVET: Laluan alternatif dengan gaji lebih tinggi
Razman menambah, masih ramai belia berhenti belajar selepas Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), memilih untuk terus bekerja tanpa melanjutkan pelajaran.
Namun, inisaitif kerajaan untuk memperkasa Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), belia kini mempunyai pilihan lebih baik untuk mendapatkan pekerjaan stabil dengan gaji lumayan.
"Kalau kita lihat umur 15 hinggga 24 tahun, kita mahu mereka meneruskan pengajian ke pering universiti
"Namun, jika mekera tidak berminat dengan akademik, mereka boleh melibatkan diri dalam TVET yang boleh menjanjikan gaji lebih tinggi dan lebih stabil", tambah beliau.
Sektor kejuruteraan, automasi, dan teknologi pembuatan menawarkan gaji lebih tinggi berbanding pekerjaan dalam sektor perkhidmatan.
TVET kini diiktiraf sebagai laluan kerjaya yang berdaya maju, bukan sekadar pilihan kedua bagi mereka yang tidak mahu ke universiti.
3. Kebergantungan pada pelaburan asing: Malaysia perlu jadi peneraju inovasi
Sektor pembuatan Malaysia berkembang pesat, tetapi cabaran terbesar ialah kebergantungan terhadap pelaburan asing.
Kata beliau, situasi geopolitik yang tidak menentu, seperti perang perdagangan AS-China, boleh menjejaskan operasi syarikat antarabangsa di Malaysia.
"Kita tidak boleh terus menjadi negara yang hanya menerima pelaburan asing
"Sebaliknya, kita perlu menyokong syarikat tempatan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk menghasilkan teknologi serta inovasi sendiri," tegas Razman.
Langkah Proaktif:
- Kerajaan perlu memperkukuh sokongan kepada syarikat tempatan untuk membangunkan teknologi dan produk inovatif yang boleh bersaing di peringkat global.
- Syarikat Malaysia harus memanfaatkan perjanjian perdagangan antarabangsa seperti Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP), Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP), dan BRICS untuk mengembangkan pasaran mereka ke luar negara.
4. Trend Keusahawanan: Kebebasan vs cabaran ekonomi
Beliau berkata, generasi Millennials dan Gen Alpha lebih cenderung memilih keusahawanan atau bekerja sendiri berbanding pekerjaan tetap.
Namun, kebanyakan perniagaan kecil masih tertumpu dalam sektor makanan dan minuman (F&B), yang kebanyakkanya menawarkan gaji median sekitar RM2,700, lebih rendah berbanding sektor teknologi dan pembuatan.
"Kita mahu menggalakkan lebih ramai belia untuk menumpukan perniagaan dalam sektor berteknologi tinggi kerana pulangan lebih tinggi dan lebih terjamin", katanya lagi.
Apa yang boleh dilakukan belia?
- Fokus kepada sektor teknologi, fintech, dan e-dagang, yang menawarkan margin keuntungan lebih tinggi.
- Manfaatkan bantuan kerajaan seperti GERAK INSAN MADANI (GIM) dan TEKUN Nasional untuk mendapatkan modal serta bimbingan perniagaan.
5. Graduan perlu berfikiran global dan fleksibel
Dalam dunia yang semakin kompetitif, graduan tidak boleh bergantung kepada pasaran kerja domestik sahaja.
Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025, lebih banyak peluang akan terbuka di peringkat serantau.
"Kita harus melihat pasaran bukan hanya di dalam negara, tetapi juga di rantau Asia dan dunia
"Dalam setiap krisis atau ketidakstabilan, akan ada peluang bagi mereka yang bijak mengambil kesempatan," jelas Razman.
Tindakan yang perlu diambil:
- Pertimbangkan pekerjaan di luar Malaysia, terutamanya dalam industri teknologi dan perkhidmatan digital.
- Pelbagaikan kemahiran, contohnya dengan belajar data analytics, AI atau automasi yang mempunyai permintaan tinggi di peringkat global.
Belia Malaysia berdepan cabaran dalam pasaran kerja, tetapi peluang tetap ada bagi mereka yang bersedia menyesuaikan diri.
"Dengan peningkatan kemahiran, penerokaan bidang baru, dan memanfaatkan sokongan kerajaan, generasi muda boleh membina masa depan yang lebih stabil dan berdaya saing" kata Razman.
Transformasi Tenaga Kerja: Apa peluang baru dan ancaman tersembunyi?
#ASEAN #Belia #pendidikan #pekerjaan #kecerdasan buatan
;