Lima bot nelayan asing diusir berhampiran Pulau Perak - TLDM

Aida Aziz
Mac 13, 2022 10:37 MYT
Tindakan pantas Tim Menggeledah KD Gagah Samudera telah berjaya memintas dan menghalang pergerakan lima bot nelayan asing dan mengusir kesemuanya keluar dari perairan negara. - Foto ihsan TLDM
LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengusir lima bot nelayan asing yang dipercayai cuba menceroboh perairan negara di sekitar Pulau Perak, Kedah semalam.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat, TLDM, Lumut, hari ini.
Ujarnya, mereka dipercayai cuba menceroboh perairan negara di sekitar kawasan berkenaan bagi tujuan mengaut hasil laut negara secara tidak sah.
"Terdahulu, Pesawat CL 415 MP (MAR 272) milik Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) telah berjaya mengesan keberadaan lima buah bot nelayan asing dinyatakan di posisi kira-kira 16 batu nautika di sempadan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) negara.
"Maklumat pengesanan segera disalurkan kepada Maritime Component Commander (MCC) Barat, yang seterusnya mengarahkan KD Gagah Samudera yang sedang dalam penugasan Op Benteng Laut untuk bergerak segera menuju ke lokasi bot yang dilaporkan," katanya.
Katanya lagi, setibanya di lokasi tersebut, KD Gagah Samudera mengesahkan terdapat lima buah bot nelayan asing sedang bergerak cuba memasuki perairan negara.
"Tindakan pantas Tim Menggeledah KD Gagah Samudera telah berjaya memintas dan menghalang pergerakan bot tersebut serta seterusnya mengusir kesemuanya keluar dari perairan negara," jelasnya.
Menurut kenyataan itu lagi, TLDM bersama agensi penguatkuasa maritim yang lain sentiasa komited dan siap siaga melindungi perairan negara pada sebilang masa.
Kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat yang pantas antara kesemua agensi terlibat jelas amat berkesan dalam memastikan setiap niat atau tindakan menceroboh sempadan negara baik dilaut mahupun di daratan akan sentiasa dihalang.
#menceroboh perairan negara #lumut #TLDM #bot nelayan asing
;