Lima bilik darjah musnah dalam kebakaran di SK Laka Selatan

Adie Sufian Zulkefli
April 21, 2024 18:00 MYT
Punca dan nilai kerugian akibat kebakaran di Sekolah Kebangsaan Laka Selatan masih dalam siasatan pihak bomba. - Gambar/ JBPM
KUBANG PASU: Lima bilik darjah musnah dalam kebakaran yang berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Laka Selatan, di sini pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam, Penolong Penguasa Bomba Zulkifli Manaf berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 3.09 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Bukit Kayu Hitam yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Muhammad Al Amin Abu Bakar bersama 10 anggota segera dihantar ke lokasi kejadian.
"Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 memaklumkan berlaku kebakaran di sebuah sekolah.
"PGO Kedah mengarahkan jentera, EMRS dan jentera tangki air ke lokasi kejadian selain bantuan enam anggota dari BBP Arau dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Changlun seramai empat anggota.
"Kebakaran membabitkan lima kelas di tingkat tiga bangunan sekolah yang kemudian merebak ke bahagian bumbung namun anggota bomba berjaya mengawal api daripada terus merebak pada jam 3.40 petang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Zulkifli berkata, setakat ini punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
#Kebakaran sekolah #SK Laka Selatan #Kubang Pasu #sekolah terbakar
;