Lima beranak maut dalam perjalanan ke rumah datuk di Tapah
Abd Razak Mohd Ali
Mei 16, 2023 13:11 MYT
Mei 16, 2023 13:11 MYT
KAMPAR: Lima beranak yang maut dalam nahas di Kilometer 310.2 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan, dekat sini, awal pagi ini, dikatakan dalam perjalanan ke Tapah untuk membawa datuk mereka menjalani pemeriksaan di Hospital Tapah.
Anak keempat daripada lapan beradik, Ahmad Danish Basyir Nasaruddin, 16 tahun, berkata, ibu, abang sulung serta tiga adiknya yang keenam, tujuh dan lapan, turut mahu melawat neneknya yang kurang sihat.
Pelajar Tingkatan 4 Sekolah Izzuddin Shah itu berkata, kali terakhir dia bertemu dengan mereka ialah pada cuti Hari Raya Aidilfitri yang lalu.
"Saya dapat tahu emak, ibu, abang dan adik-adik meninggal pukul 7.30 pagi tadi, dimaklumkan oleh kakak saudara.
"Tetapi ketika itu saya tak percaya, sebab mungkin dia hanya bergurau. Kemudian, cikgu panggil, barulah saya percaya dan terus datang hospital," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Tapah.
Menurutnya, pesanan terakhir ibunya ketika mereka bertemu ialah supaya dia menjaga diri, belajar rajin-rajin dan tidak menimbulkan masalah di sekolah.
Sementara itu di Hospital Kampar, suasana hiba menyelubungi pekarangan Unit Forensik apabila kaum keluarga berkumpul menunggu untuk menuntut jenazah mangsa.
Dalam kemalangan awal pagi ini, lima beranak maut apabila kereta yang mereka naiki dipercayai melanggar belakang sebuah lori sebelum terbakar.
Azriyani Abdul Latif, 45 tahun, dan tiga anaknya, Muhammad Azib Nasaruddin, 23 tahun, Siti Nur Aminah, 8 tahun, dan Ahmad Uwais Al Qorni, 5 tahun, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang lagi anaknya, Muhammad Fawwaz, 7 tahun, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tapah.