Lima beradik yatim piatu sekelip mata, ibu bapa maut digilis lori

Aizat Sharif
Mei 23, 2014 18:23 MYT
Keadaan mangsa yang terjatuh di sebelah motosikal dalam insiden ngeri langgar lari awal hari ini
Lima beradik menjadi yatim piatu dengan sekelip mata apabila ibu bapa mereka maut digilis sebuah lori dalam satu kejadian langgar lari di susur Jalan Chan Sow Lin pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh memberitahu kejadian berlaku pada jam 8 pagi apabila kedua-dua mangsa menaiki sebuah motosikal Honda EX5 dari arah Cheras menuju ke jalan Chan Sow Lin.
"Motosikal yang ditunggangi mangsa secara tiba-tiba hilang imbangan menyebabkan kedua-dua mereka jatuh ke jalan raya sebelum dilanggar oleh sebuah lori," kata Mohan.
Mangsa kemudian digilis oleh lori tersebut yang kemudiannya bertindak meninggalkan tempat kejadian.
Identiti mangsa dikenali sebagai Jefri Mohd Zain, 50 dan isterinya, Norsalawati Ibrahim, 40 dan kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian.
Polis masih lagi mengesan lokasi pemandu lori tersebut dan saksi kejadian digesa tampil untuk membantu siasatan.
Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan kes disiasat dibawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Cheras #digilis #Jalan Chan Sow Lin #kemalangan
;