Lima beradik yatim piatu jadi anak angkat Perkeso

Sinar Harian
Oktober 23, 2021 06:26 MYT
Lima beradik yang menjadi yatim piatu selepas kehilangan ibu bapa mereka akibat COVID-19. - Foto Sinar Harian
SERI KEMBANGAN: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjadikan lima beradik yang kehilangan kedua ibu bapanya akibat COVID-19 sebagai anak angkat.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, pertubuhan itu akan membiayai pendidikan kelima-lima beradik itu sehinggalah mereka berumur 21 tahun.
“Sekiranya mereka hendak sambung belajar di universiti dan sebagainya, Perkeso akan tanggung sehingga umur 21 tahun,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama lima beradik yang menjadi yatim piatu selepas kehilangan ibu bapa mereka akibat COVID-19 di Seri Kembangan pada Sabtu.
Bapa lima beradik berkenaan, Hasil Tahal, 46, meninggal dunia pada 11 Ogos lalu dan isterinya, Ida Haryanie Abdul Razak, 38, pula dua bulan kemudian.
Lima orang adik-beradik itu adalah Hannan (tiga tahun), Hawwas (enam tahun), Harraz (lapan tahun), Humaira (sembilan tahun) dan Hadhrami (11 tahun).
Saravanan turut menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 dan Pencen Penakat kepada penjaga lima beradik itu, Abdul Razak Basiron, 67.
Dalam pada itu, Saravanan turut meminta majikan agar mencarum kepada Perkeso untuk kakitangan mereka.
“Saya merayu kepada majikan, pastikan mencarum kepada warga kerja. Tidak kira satu hari, satu bulan atau setahun, apabila mereka kerja tolonglah mencarum.
“Sekiranya apa-apa berlaku kepada warga kerja, majikan tidak boleh tanggung keluarga warga kerja selama-lamanya. Mungkin mereka boleh beri pampasan dan sebagainya, tetapi mereka tidak boleh memikul beban warga kerja selama-lamanya.
“Hanya Perkeso boleh menanggung dan memikul beban warga kerja,” jelasnya.
Menurutnya, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang gagal mencarum untuk pekerja.
“Saya bagi amaran kepada majikan, jangan ada yang menjadi mangsa penjara dua tahun.
“Saya bukanlah hendak ugut, tetapi saya lihat keadaan macam ini harus menjadi tanggungjawab semua majikan,” katanya.
Sementara itu, Abdul Razak berkata, pihaknya berbesar hati atas keprihatinan Perkeso dan Menteri Sumber Manusia.
“Saya sangat berterima kasih kepada pihak Perkeso dan menteri kerana sudi datang serta ziarah kami sekeluarga,” katanya.
Beliau yang merupakan datuk kepada lima beradik berkenaan berkata, pihaknya tiada mempunyai masalah untuk menjaga lima beradik itu.
“Tiada masalah untuk menjaganya kerana sebelum ini kami memang rapat dengan mereka.
“Cuma ketiadaan kedua-dua arwah itu sangat dirasai kami sekeluarga. Tentang anak-anak arwah, insyaAllah kami akan jaga dengan sebaik mungkin,” katanya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#Saravanan #perkeso #yatim piatu #COVID-19
;