Lima bazar Ramadan Rapid KL ditutup bermula Sabtu

Sinar Harian
Mei 6, 2021 12:52 MYT
Penutupan itu melibatkan bazar di Stesen LRT Kelana Jaya, LRT Glenmarie, LRT Pandan Indah, LRT Cempaka dan LRT Putra Heights. - Gambar SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR: Lima lokasi bazar Ramadan Rapid KL di bawah kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di sekitar Selangor akan ditutup bermula Sabtu ini.
Prasarana dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, penutupan itu melibatkan bazar di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya, LRT Glenmarie, LRT Pandan Indah, LRT Cempaka dan LRT Putra Heights.
Bagaimanapun katanya, bazar Ramadan Rapid KL di Stesen LRT Damai, Kuala Lumpur akan beroperasi seperti biasa mengikut ketetapan dibuat sebelum ini, lapor Sinar Harian.
"Bazar Ramadan di Stesen LRT Damai terletak di Kuala Lumpur dan akan beroperasi seperti biasa.
"Penutupan ini adalah selaras pengumuman dibuat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah negeri ini," katanya.
Bazar Ramadan Rapid KL sebelum ini memulakan operasi pada 13 April lalu merangkumi enam lokasi di beberapa stesen LRT terpilih.
Begitupun operasi bazar di stesen LRT Cempaka telah ditutup lebih awal iaitu pada 1 Mei lalu berikutan lokasi berkenaan tersenarai dalam kawasan berisiko tinggi menerusi laporan dikeluarkan Hotspot Identification by Dynamic Engagement (HIDE).
Pada Selasa, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP di enam daerah di Selangor bermula Khamis (hari ini) sehingga 17 Mei depan.
Daerah-daerah terlibat adalah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.
#Bazar Ramadan #Rapid KL #prasarana #stesen LRT #perintah kawalan pergerakan
;