Lima aspek perlu diteliti sebelum laksana dasar gaji progresif - Prof Roselina

Faida Rahim
November 30, 2023 18:33 MYT
Prof Roselina Ahmad Saufi menjelaskan ia termasuk aspek garis panduan, pembangunan kerjaya, faedah, pembangunan modal insan dan tadbir urus.
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meneliti lima aspek sebelum melaksanakan cadangan dasar gaji progresif dalam memastikan strategi itu mempunyai hala tuju lebih jelas terutama dalam membantu graduan.
Dekan Malaysian Graduate School Of Entrepreneurship & Business UMK, Prof Roselina Ahmad Saufi menjelaskan ia termasuk aspek garis panduan, pembangunan kerjaya, faedah, pembangunan modal insan dan tadbir urus.
“Pertama, garis panduan kenaikan gaji tahunan. RM200 bagi peringkat permulaan, RM300 bagi mereka yang telah berada dalam syarikat tersebut. Adakah ini mencukupi... adakah RM200 atau RM300 is good enough or more than that?
“Kedua adalah pembangunan kerjaya pekerja dalam syarikat itu. Ini perlu dilihat sebab kenaikan gaji perlu disusuli dengan kenaikan pangkat atau kerjaya mereka dalam syarikat,” katanya dalam Buletin AWANI pada Khamis.
Tambahnya lagi, Kerajaan juga perlu meneliti aspek faedah diterima pekerja itu sama ada berbaloi atau sebaliknya.
“Apakah faedah yang diperoleh oleh pekerja itu tadi, ini perlu bersama dilihat, bukan saja sewenangnya kita menurunkan sistem kadar kenaikan secara monetari, tetapi apakah faedah-faedah lain.
“Selain itu adalah pembangunan insan. Program pembangunan latihan perlu dibangunkan di semua syarikat yang terlibat sedangkan sebelum ini pun kita ada program pemerkasaan bakat. Program ini perlu diperhalus, diperketat dan dimantapkan.
“Akhirnya, sudut tadbir urus. Kita tidak mahu mengulangi dari sudut pelaksanaan gaji minimum, tetapi pastikan pelaksanaan prograresif untuk memupuk keharmonian dalam pejabat dalam organisasi itu tadi,” katanya.
Terdahulu, Kerajaan umum akan menyediakan insentif tunai mengikut kadar dan keperluan pekerja, dengan nilai maksimum RM200 dan RM300 sebulan selama 12 bulan masing-masing untuk peringkat permulaan (entry level) dan bukan permulaan (non-entry level).
Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli berkata, melalui Dasar Gaji Progresif, syarikat peserta projek rintis, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), layak menerima insentif tersebut sekiranya mereka membayar gaji pekerja pada kadar yang sama, atau melebihi cadangan panduan kenaikan gaji tahunan.
#Dasar Gaji Progresif #Prof Roselina Ahmad Saufi #gaji #Pekerja
;