Lima anakanda Sultan Johor mengetuai senarai 404 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ke-54 hari ini.

Puteri tunggal baginda Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dikurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DKI).

Turut menerima anugerah DKI ialah putera baginda, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.

Pada istiadat penganugerahan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar, tiga individu menerima Darjah Mahkota Yang Amat Mulia Pangkat Kedua Datuk Paduka Mahkota Johor (DPMJ) yang membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah Pengarah Gerup Gerak Khas, Kem Iskandar, Brig.Jen. Effendi Ab Karim, Ketua Polis Johor Datuk Mokhtar Mohd Shariff dan Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor, Daing A Malek Daing A Rahaman.