Lima ahli keluarga suspek serang Balai Polis Ulu Tiram dituduh hari ini

Sinar Harian
Jun 19, 2024 08:30 MYT
Dalam kejadian di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said meninggal dunia selepas diserang seorang lelaki.
JOHOR BAHRU: Lima ahli keluarga suspek kes serangan Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua anggota polis 17 Mei lalu, akan didakwa pada pagi ini.
Polis Kontinjen Johor malam tadi mengeluarkan hebahan kepada media untuk membuat liputan kes berkenaan yang akan disebut di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Pada 24 Mei lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua suspek yang berusia 19 hingga 62 tahun itu ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selepas tempoh reman mereka berakhir.
SOSMA membenarkan penahanan mana-mana suspek selama 28 hari tanpa perbicaraan.
Dalam kejadian serangan pada 2.45 pagi 17 Mei lalu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia selepas diserang seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang.
Sementara itu, Koperal Mohd Hasif Roslan cedera akibat tembakan di bahu kiri dan pinggul berada dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Penyerang terbabit maut ditembak dalam kejadian berkenaan. - Sinar Harian
Serangan Ulu Tiram: Lima ahli keluarga suspek didakwa
#Balai Polis Ulu Tiram #Mahkamah Sesyen Johor Bahru #serangan #SOSMA
;