LIMA'23: Terus unggul di persada, terbaik sepanjang penganjurannya
Abd Hadi Che Awang
Mei 30, 2023 10:40 MYT
Mei 30, 2023 10:40 MYT
LANGKAWI: Edisi ke-16 penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) menutup tirainya Sabtu lalu dengan pelbagai kejayaan yang ditempa.
Bukan sahaja kejayaan mencatatkan penyertaan 525 pempamer tempatan dan luar negara yang merupakan penyertaan tertinggi sepanjang penganjuran pameran dwitahunan itu.
Malah LIMA'23 berjaya merekodkan nilai urusniaga sebanyak RM17.6 bilion melibatkan industri berkaitan pertahanan dan komersial yang dikelolakan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan.
Selain itu, penyertaan beberapa negara luar dalam melakukan pertunjukan udara telah 'memecah keheningan' langit Pulau Langkawi dengan deruan enjin pesawat seperti Jupiter dari Indonesia, Russian Knights dari Rusia, Fursan Al Emarat dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta August 1st dari China.
Paling mencuri tumpuan kali ini adalah kelibat 'oppa' Black Eagles dari Korea Selatan selain jet-jet pejuang kebanggaan negara iaitu Sukhoi dan Hornet.
Bagi sektor maritim pula yang diadakan di Resort World Langkawi (RWL), Pantai Tengah turut tidak kurang hebatnya dengan persembahan statik dan demontrasi daripada agensi-agensi yang terlibat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan kehadiran pengunjung pada hari pertama pembukaan sektor aeroangkasa di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) mencatatkan jumlah melebihi 90,000 orang.
Ia sekaligus memperlihatkan sasaran yang ditetapkan sebanyak 250,000 pengunjung bagi kedua-dua sektor telah berjaya dicapai.
Tidak terhenti di situ, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga turut menyifatkan penganjuran LIMA semakin baik saban edisi sejak kali pertama diadakan pada tahun 1991.
Menurut beliau, perkara itu dapat dilihat melalui penambahbaikan pameran dan persembahan pihak yang terlibat di kedua-dua sektor iaitu aeroangkasa dan maritim.
Maka harapan beliau agar, pameran dwitahunan itu dapat diteruskan oleh mana-mana kerajaan yang mentadbir Malaysia pada edisi-edisi akan datang.