LIMA'23: PM Anwar rasmi segmen maritim

Abd Hadi Che Awang
Mei 23, 2023 19:17 MYT
Perdana Menteri dipersembahkan dengan demonstrasi bot maritim pasukan keselamatan negara. - Gambar/ Twitter Bernama
LANGKAWI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini merasmikan segmen maritim Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA'23) yang diadakan di Resort World Langkawi, Pantai Tengah.
Beliau yang tiba sekitar jam 4 petang turut diiringi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Majlis perasmian berkenaan dimulakan dengan aksi penyusupan oleh penyelam tentera yang menaiki jet ski membawa kompas untuk diaktifkan oleh Perdana Menteri sebagai gimik perasmian segmen itu.
Perdana Menteri kemudiannya dipersembahkan dengan demonstrasi bot maritim yang mempamerkan pergerakan taktikal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Turut terlibat adalah Jabatan Kastam Diraja Malaysia; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia.
Beliau kemudiannya menyaksikan aksi menampilkan keupayaan menyelamat tebusan yang menggabungkan kepakaran beberapa agensi seperti Pasukan Khas Laut (PASKAL), Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR) Maritim Malaysia, Unit Gempur Marin PDRM dan Jabatan Laut Malaysia bersama aset permukaan dan udara masing-masing.
Upacara yang terakhir yang disajikan kepada pemimpin nombor satu negara itu adalah terbang lintas hormat dan pelayaran lintas hormat yang melibatkan aset udara dan permukaan sebagai penghormatan kepada Perdana Menteri dan tetamu-tetamu kenamaan yang lain.
Segmen maritim sempena penganjuran LIMA'23 bermula hari ini dan akan diadakan sehingga 27 Mei di mana kemasukan pengunjung bagi segmen yang diadakan di Resort World Langkawi, Pantai Tengah itu adalah percuma.
#LIMA'23 #majlis perasmian #Anwar Ibrahim #Perdana Menteri
;