LIMA'23: Pertunjukan aerobatik dari lima negara bakal gegarkan ruang udara Langkawi

Astro Awani
Mei 10, 2023 19:49 MYT
Sebanyak lima pasukan aerobatik dari pelbagai negara bakal menggegarkan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LlMA) yang akan berlangsung pada Mei ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak lima pasukan aerobatik dari pelbagai negara bakal menggegarkan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LlMA) yang akan berlangsung pada Mei ini.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, setakat ini lima negara telah bersetuju untuk menyertai pertunjukan terbabit.
Beliau berkata, antaranya adalah pasukan dari Indonesia, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Korea Selatan dan Rusia.
"Kita jangka LIMA tahun ini untuk segmen pertunjukan udara adalah amat meriah kerana biasanya kalau ada lima negara buat sekali, kita boleh nampak semangat bertanding antara mereka.
"Dalam tempoh dua jam, kita akan dapat satu pertunjukan yang menggerunkan dan diharap cuaca tidak hujan adalah bonus," katanya ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Adilfitri Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di sini, hari ini.
Meskipun cuaca panas, ia tidak akan menganggu perjalanan LIMA'23, namun Affendi menasihati mereka yang hadir ke pameran itu supaya bersedia dengan membawa payung serta air yang secukupnya.
Selepas empat tahun ditangguhkan LIMA'23 kini kembali dianjurkan oada 23 hingga 27 Mei ini.
#Angkatan Tentera Malaysia #LIMA'23 #Langkawi #aerobatik
;