LIMA'23: LADA diharap besarkan Dewan MIEC untuk edisi selepas ini - Mohamad Hasan

Abd Hadi Che Awang
Mei 27, 2023 14:40 MYT
Penganjur tidak dapat memenuhi hasrat banyak syarikat yang menyatakan minat untuk terlibat sama dalam edisi penganjuran kali ini atas beberapa kekangan termasuk ruangan pameran di MIEC yang terhad. - Gambar/ Bernama
LANGKAWI: Kementerian Pertahanan berharap Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dapat memperbesar ruangan dalam Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) pada penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) edisi akan datang.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia adalah bagi memastikan lebih banyak penyertaan pempamer terutama melibatkan syarikat dari luar negara.
Ia susulan pihak penganjur tidak dapat memenuhi hasrat banyak syarikat yang menyatakan minat untuk terlibat sama dalam edisi penganjuran kali ini atas beberapa kekangan termasuk ruangan pameran di MIEC yang terhad.
"(Untuk LIMA edisi kali ini) Dewan Mahsuri ini tidak lagi dapat tempatkan permintaan daripada pempamer (yang tunjukkan minat pada saat akhir).
"(Sebenarnya) banyak negara atau syarikat luar yang ingin mengambil bahagian tetapi tidak dapat kita penuhi kerana ketidaan tempat yang sesuai, kita tidak akan letakkan mereka di khemah yang berasingan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penutup LIMA'23 Edisi ke-16 di Lobi Utama, MIEC, Langkawi pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mohamad menyatakan hasrat kementeriannya juga adalah bagi memusatkan lokasi pameran melibatkan segmen maritim dan aeroangkasa bagi memudahkan urusan pengangkutan, logistik dan urusan melibatkan pengunjung.
Tambahnya, LIMA edisi akan datang juga akan ditambah baik khususnya dalam meningkatkan pembangunan modal insan golongan muda terhadap kerjaya melibatkan ketenteraan.
"(Berkenaan) menarik minat (dalam ketenteraan) dengan LIMA ini... memeranjatkan saya, ada waris balik (ke rumah), anak-anak kata ramai nak jadi pilot... (ini) kesan LIMA kepada anak-anak.
"Kesannya adalah kepada talent development anak-anak, (LIMA'23) ini menjadi ruang dan medan untuk anak muda kita terhadap kerja dalam tentera udara, laut, dan kita akan buat (sehabis baik) untuk tambah minat sertai tentera," katanya.
#LIMA'23 #Mohamad Hasan #MIEC #LADA
;