LIMA'23: Bukan 'oppa' saja tarik perhatian, juruterbang TUDM juga 'pikat' pengunjung

Adie Sufian Zulkefli
Mei 27, 2023 18:26 MYT
Sting (kiri) dan Gitter bergambar di hadapan pesawat selepas melakukan pertunjukan udara di LIMA'23. - Gambar/ Astro AWANI
LANGKAWI: Bukan juruterbang 'oppa' dari Korea Selatan sahaja yang menarik perhatian pengunjung Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA’23), pengendali Sukhoi Su-30MKM Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga tidak kurang hebatnya.
Ketangkasan ketika melakukan aksi aerobatik pesawat tempur TUDM itu menjulang nama Leftenan Kolonel Mohd Norazan Othman, 44, dalam kalangan pengunjung yang berbangga dengan kemampuan anak tempatan ini.
Lebih membanggakan, juruterbang TUDM dengan nama gelaran 'Sting' ini melakukan 10 aksi aerobatik solo yang memukau dan mendebarkan di kampung kelahirannya sendiri iaitu Langkawi.
Beliau yang berasal dari Kampung Lubuk Setul berkata, LIMA edisi ke-16 ini adalah penyertaan kali keenamnya sepanjang 25 tahun berhidmat dalam TUDM.
Katanya, pesawat Sukhoi Su-30MKM dikendalikannya adalah sebahagian pasukan pertunjukan udara TUDM yang dikenali sebagai Smokey Bandits.
Beliau bersama Pegawai Sistem Senjata Mejar Muhammad Osman Mohd Sidek dengan gelaran ‘Gitter’ adalah antara 23 juruterbang TUDM yang terbabit dalam pertunjukan udara pada LIMA'23 2023 yang berakhir hari ini.
"Sebenarnya juruterbang 'Smokey Bandits' ini sangat berkemampuan, bukan hanya untuk pertunjukan udara, malah adalah juruterbang tempur yang bersedia sepenuhnya untuk pertempuran," katanya.
Beliau yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Padang Mat Sirat, Langkawi dan Sekolah Menengah Kebangsaan Teknik Ipoh, Perak, sebelum berjaya melanjutkan pelajaran di Kolej Tentera Udara (KTU) Kepala Batas, mengakui bukan mudah untuk menjadi juruterbang.
Katanya, beliau mengambil masa lama dan perlu fokus ketika berlatih melakukan aksi solo pesawat, khususnya ketika mempamerkan 'kolokol' atau aksi kedudukan statik dalam keadaan menegak 75 darjah di udara.
"Ketika menerbangkan pesawat, ia berbeza dengan tugas biasa dan untuk pertunjukan, namun masing-masing terdapat risiko tersendiri, baik ketika tinggi di udara, laut atau darat.
"Beliau yang telah menerbangkan 25 jenis pesawat mengingatkan kepada golongan muda yang bercita-cita untuk menjadi juruterbang jet tempur," katanya.
#LIMA'23 #juruterbang sukhoi #TUDM #smokey bandits
;