LIMA'23 buka tirai dengan aksi menakjubkan pesawat TUDM
Abd Hadi Che Awang
Mei 23, 2023 12:03 MYT
Mei 23, 2023 12:03 MYT
LANGKAWI: Aksi pembukaan yang menakjubkan daripada pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuka tirai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA'23) yang bermula hari ini sehingga 27 Mei.
Dalam aksi pembukaan itu, beberapa aksi aerobatik dan formasi udara dipersembahkan juruterbang TUDM bersama jet-jet pejuang termasuk Sukhoi 30MKM, F/A-18D Hornet, Hawk 108/208, Pilatus, Airbus A400M dan helikopter Agusta AW139 di hadapan kira-kira 2,500 penonton yang berada di sekitar Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC).
Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Terdahulu, Mohamad memaklumkan bahawa penganjuran LIMA'23 bagi edisi ke-16 akan menghimpunkan seramai 525 pempamer dari seluruh dunia.
Penganjuran edisi kali ini turut melibatkan penyertaan daripada lima negara yang terkenal dengan pertunjukan udara iaitu Rusia, Thailand, Indonesia, Korea Selatan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Tambah beliau, LIMA'23 juga dijangka menarik kehadiran 45,000 pengunjung perdagangan serta 250,000 pengunjung awam.
Selain itu, 119 pesawat akan menyertai pameran statik dan aerobatik sempena penganjuran kali ini, selain 40 kapal tentera laut dari dalam dan luar negara.