LIMA '23: 43 perjanjian berjumlah lebih RM10.1 bilion dimeterai Kementerian Pertahanan
Abd Hadi Che Awang
Mei 25, 2023 13:44 MYT
Mei 25, 2023 13:44 MYT
LANGKAWI: Sebanyak 43 dokumen kontrak, Surat Setuju Terima (LoA), dan Surat Niat (LoI), yang bernilai lebih RM10.1 bilion ditandatangani Kementerian Pertahanan sempena penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ‘23) hari ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan dokumen kontrak yang terlibat adalah melibatkan penerimaan empat Helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk yang akan digunakan bagi tujuan latihan dan tugasan penerbangan operasi Tentera Darat Malaysia (TDM).
Selain itu, antara perolehan lain adalah membabitkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang akan menerima 18 pesawat tempur FA-50 Fighter-Lead-In-Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT-LCA) daripada Korea Aerospace Industries (KAI).
Tiga pesawat tanpa pemandu jenis Unmanned Aerial System (UAS) dan sistem kelengkapan Medium Altitude Long Endurance (MALE) Fasa Satu juga akan diperoleh TUDM daripada Turkish Aerospace Industries selain dua lagi pesawat Maritime Patrol Aircraft (MPA) Fasa Satu serta sistem sokongan daripada syarikat Leonardo SPA.
"Alhamdulillah sebanyak 41 perjanjian atau surat perakuan telah kita tandatangan di antara Kementerian Pertahanan dan pihak berkenaan, yang mana ia bernilai sebanyak 10.128 bilion.
"Saya berharap supaya perolehan aset-aset ini akan dapat kita terima dalam keadaan baik, dan kita terima dalam jangka masa ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis menandatangani dokumen Kontrak, Memorandum Persefahaman (MOU), Surat Setuju Terima (SST) dan Surat Niat oleh Kementerian Pertahanan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Rembau itu menzahirkan harapan agar perolehan aset melibatkan helikopter dan pesawat tempur berkenaan berupaya meningkatkan tahap kesiapsiagaan ATM dalam menjamin kedaulatan negara.
Tambah Mohamad, Kementerian Pertahanan juga kini dalam proses untuk meneliti secara terperinci beberapa lagi dokumen berkaitan pertahanan yang perlu dimiliki Malaysia, dan pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat dalam tempoh terdekat.