LIMA 2023: Kementerian Pengangkutan usaha atasi isu perkhidmatan feri di Langkawi
Hilmi Malik
Januari 16, 2023 17:40 MYT
Januari 16, 2023 17:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan akan berusaha untuk menangani isu perkhidmatan feri di Langkawi yang agak terbatas.
Langkah itu sebagai persiapan menjelang kehadiran pengunjung sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA 2023).
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, usaha itu perlu dilakukan bagi memastikan ia tidak menjejaskan penganjuran acara berprestij itu.
Ujarnya, Kementerian Pengangkutan menyokong penuh penganjuran LIMA 2023 yang turut memberi kesan positif terhadap negara.
"Kita sudah arahkan Jabatan Laut dan pengendali feri untuk lihat isu ini serta meningkatkan kapasiti untuk tampung jumlah pengunjung.
"Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi ia tidak mempunyai isu kerana telah dinaik taraf sejak penganjuran sebelum ini.
"Ini bukan kali pertama Langkawi menjadi tuan rumah untuk LIMA dan kita yakin dapat tampung jumlah pengunjung termasuk penggunaan e-hailing," ujar Loke.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas perasmian Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA 2023) di Pusat Pameran Dagangan Antarabangsa (MITEC) pada Isnin.
Ujarnya lagi, tindakan itu juga bukan hanya persediaan bagi penganjuran acara itu semata-mata, malah ia juga merupakan persediaan menjelang perayaan Tahun Baharu Cina yang akan berlakunya peningkatan pengunjung.
Turut hadir ke majlis itu ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Penganjuran LIMA 2023 membabitkan keluasan 20,000 kaki persegi di kawasan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC).
Sebanyak 110 pesawat pertahanan dan komersial akan terbabit dengan pertunjukan udara bagi acara berkenaan.