Lim Guan Eng sambut baik zon bebas cukai di Negeri Sembilan

Bernama
September 22, 2019 14:09 MYT
Menteri Kewangan Lim Guan Eng (kanan) yang juga Setiausaha Agung DAP dilihat berbincang dengan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan Ke-20 di Klana Resort hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyambut baik cadangan kerajaan Negeri Sembilan untuk mewujudkan sebuah zon bebas cukai di projek pembangunan Lembah Wawasan 2.0 (MVV 2.0).
Bagaimana pun katanya, kerajaan negeri masih perlu mengemukakan permohonan secara rasmi kepada kerajaan pusat.
Pembangunan itu yang berkeluasan 153,411 hektar merangkumi Nilai sehingga Port Dickson.
"Cadangan kawasan bebas cukai ini kita akan pertimbangkan dengan serius," Lim dalam ucapan ketika merasmikan Konvesyen Tahunan DAP Negeri Sembilan kali ke-20 di sini, hari ini.
Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata demikian sebagai mengulas permohonan yang dibuat Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun ketika berucap di konvensyen yang sama, hari ini.
Dalam ucapan, Aminuddin berkata dengan adanya zon bebas cukai di kawasan itu, ia diyakini mampu meningkatkan dan mempercepatkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri.
"Kita mohon kalau boleh adakan sebuah zon bebas cukai di MVV 2.0. Ini harus dibincangkan bersama Kerajaan Persekutuan. Ia pastinya mampu mempesatkan lagi pembangunan di Negeri Sembilan kerana kita lihat negeri ini setaraf dengan Melaka.
"Justeru, kehadiran MVV ini dengan adanya kawasan bebas cukai, kita yakin bahawa ia akan meningkatkan lagi ekonomi di negeri ini. Kita harap perkara ini dapat dipertimbangkan oleh Menteri Kewangan," katanya.
Turut hadir di konvensyen berkenaan ialah Menteri Pengangkutan yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan Anthony Loke Siew Fook.
MVV 2.0 merupakan rancangan jangka panjang pembangunan Negeri Sembilan ke arah menjadi sebuah negeri maju yang memiliki pembangunan metropolis bertaraf dunia sekali gus memberi impak kepada ekonomi Malaysia dengan pelaburan antarabangsa dan tempatan.
-- BERNAMA
#cukai #DAP #Lim Guan Eng #Menteri Besar #Negeri Sembilan #pelaburan #Zon Bebas Cukai
;