Lim Guan Eng mohon kes rasuah dipindah ke Mahkamah Tinggi

Bernama
Julai 9, 2021 15:48 MYT
Guan Eng membuat permohonan pemindahan itu agar keputusan berkaitan kes berkenaan boleh dirayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah memfailkan permohonan supaya kes rasuah membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu, yang akan dibicarakan Selasa depan di Mahkamah Sesyen, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Guan Eng menerusi afidavit sokongannya berkata, kes dihadapinya itu perlu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi agar keputusan berkaitan kes berkenaan boleh dirayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi pemberita melalui aplikasi WhatsApp hari ini berkata pihaknya akan membantah permohonan berkenaan antaranya atas alasan ia difailkan di saat akhir.
"Perbicaraan kes di Mahkamah Sesyen akan bermula Selasa depan di hadapan Hakim Azura Alwi dan pihak pendakwaan telah bersedia untuk menjalankan kes dan akan memanggil beberapa orang saksi dari Pulau Pinang untuk memberi keterangan.
"Namun, semalam pihak kami mendapat tahu bahawa peguam bela kepada YB Lim telah memfailkan permohonan di bawah Sesyen 417 Kanun Tatacara Jenayah untuk memindahkan kes dihadapi Lim dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi," katanya yang turut memaklumkan tarikh perbicaraan kes itu telah dipersetujui kedua-dua pihak pada 21 Disember tahun lepas.
Sebelum ini, mahkamah telah menetapkan 13 hingga 16 Julai; 28 dan 29 Julai, 16 hingga 20 Ogos, 6 hingga 10 September, 20 hingga 24 September dan 13 hingga 17 Disember depan untuk perbicaraan kes.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.
Guan Eng dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi.
Ahli Parlimen Bagan itu juga dituduh atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.
-- BERNAMA
#Lim Guan Eng #Rasuah #terowong #dasar laut #pembinaan jalan #mahkamah #Mahkamah Tinggi #rayuan kes
;